Siti Nurhaliza, artis jemputan tidak dibayar - Dr Dzulkefly

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan bahawa tiada sebarang bayaran atau imbuhan diberikan kepada artis dan selebriti yang hadir membuat persembahan sempena sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Selasa lalu.
Beliau berkata, artis yang hadir seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Mila Akademi Fantasia (AF) dan Datuk Jamal Abdillah membuat persembahan secara sukarela bagi meraikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan warga KKM.
“Hanya Jamal diberikan sagu hati manakala Tok Ti (Siti Nurhaliza) hadir sebagai rakan tetamu Yayasan Nurjiwa dan Mila AF juga tidak mengenakan caj,” katanya pada Khamis.
Sebelum ini, Ketua Lajnah Kesihatannya, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin mendakwa, warga kerja KKM terpaksa menyaksikan kementerian menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri yang mewah bersama artis dan selebriti.
Pemuda Pas Terengganu turut meluahkan rasa kecewa dan simpati terhadap ribuan warga kerja KKM yang saban hari bergelut dengan tekanan kerja, fasiliti yang serba kekurangan dan ketidakpastian masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!