Citta Worldwide, Marriot International meterai kerjasama pengurusan Aloft Hotels Seremban

SYARIKAT pelaburan hartanah, Citta Worldwide Sdn Bhd (Citta Worldwide) meterai perjanjian bersama jenama hotel terkemuka, Marriot International Inc bagi pengurusan Aloft Hotels di Seremban, Negeri Sembilan.
Pengerusi Citta Worldwide, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan berkata, hotel bertaraf empat bintang dengan pelaburan sebanyak RM100 juta itu merupakan yang pertama dibawah jenama berkenaan disamping lima hotel bajet yang diuruskan Kumpulan KK Supermart (KK Mart).
"Sebelum ini kami fokus kepada hotel bajet namun melihat kepada perkembangan industri pelancongan di Malaysia yang semakin mendapat perhatian, kami mula beralih ke peringkat antarabangsa.

"Selain perkembangan semasa (seperti) visa percuma China selama 90 hari untuk tempoh lima tahun, ia turut menjadi pemangkin kepada industri hospitaliti dan perhotelan.
"Saya melihat industri hotel bukan sahaja perlu tertumpu kepada konsep bajet, tetapi mahu membawa masuk jenama campuran yang mana kita boleh manfaatkan kepakaran, pengalaman, jenama dan komuniti yang dimiliki," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pengurusan Aloft Hotels Seremban antara Citta Wordwide dan Marriot International Inc, di sebuah hotel di Putrajaya pada Rabu.
Dalam pada itu Kee Kan memaklumkan, Aloft Hotels Seremban yang dijangka beroperasi penghujung tahun ini bakal mentransformasikan landskap hospitaliti di bandar tersebut dengan menawarkan pengalaman penginapan dinamik serta bergaya.
Melihat kepada perkembangan berkenaan, beliau menjelaskan, pihaknya akan terus meneroka peluang baharu bersama jenama antarabangsa itu pada masa akan datang.
"Jika semuanya berjalan lancar, kami mungkin akan meneroka peluang lain di bawah kumpulan hotel yang sama pada tahun hadapan.
"Saya boleh katakan kami amat berbangga dapat menjalin kerjasama dengan Marriot International untuk memperkenalkan jenama yang mencerminkan identiti unik Negeri Sembilan," ujarnya.
Aloft Hotels Seremban yang terletak di pusat bandar menjadi sebahagian daripada pembangunan komersial bersepadu merangkumi ruang runcit dan pejabat.
Hotel tersebut dihubungkan secara langsung dengan pusat beli-belah Terminal 1 dan bakal menawarkan akses mudah ke hab pengangkutan utama termasuk Stesen Kereta Api Seremban Sentral yang bakal dibuka.
Menampilkan 173 bilik dan suite, hotel tersebut turut menawarkan kemudahan lain seperti bilik mesyuarat, kolam renang dan ruang rehat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!