'Jangan jadikan PRK Ayer Kuning platform sebar bibit kebencian' - Saifuddin

Saifuddin.
Saifuddin.
A
A
A

TAPAH - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak sepatutnya dijadikan platform untuk menanam politik kebencian dalam kalangan penduduk.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tersebut bukan sahaja memecah-belahkan komuniti, tetapi juga mampu menggugat perpaduan negara.

Menurut beliau, bibit-bibit kebencian yang dizahirkan termasuk kenyataan tanpa fakta kukuh akan meninggalkan kesan dalam hati rakyat.

“Orang datang berkempen selama 14 hari, kemudian mereka balik dan yang tinggal hanyalah penduduk Ayer Kuning.

“Dalam tempoh ini juga, jika mahu naik pentas untuk berkempen silakan kerana ini pesta demokrasi dan keamanan polis akan jaga.

“Tetapi, kalau naik pentas dengan maki hamun, habislah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Sukarelawan Malaysia Daerah Batang Padang, di sini pada Selasa.

Saifuddin yang juga setiausaha agung Pakatan Harapan (PH) berpandangan, semua pihak diingatkan untuk sentiasa fokus terhadap usaha mempromosikan calon dan menawarkan komitmen parti demi memenangi hati pengundi Ayer Kuning.

“Nak angkat, julang atau solek calon kamu, silakan! Berikan alasan apabila pilih calon ini, politik negeri boleh jadi lebih stabil.

Artikel Berkaitan:

“Namun, kalau kata ‘pilih calon kami kerana calon parti lawan akan menyebabkan Islam terancam', janganlah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, keadaan keselamatan dan perjalanan kempen PRK DUN Ayer Kuning berjalan lancar setakat ini.

Saifuddin berpendapat, kelancaran kempen terbabit adalah hasil daripada perancangan yang baik ditambah pula langkah-langkah teliti diambil pihak polis dalam menjaga keamanan serta keselamatan sepanjang 14 hari.

“Hanya tujuh laporan polis diterima setakat ini yang mana ia boleh dianggap sebagai rendah dan saya harap pematuhan terhadap semua peraturan akan berterusan sehingga hari terakhir.

"Kita menggesa semua pihak terlibat untuk kekal dengan situasi sekarang supaya setiap pemilih menunaikan tanggungjawab dengan selesa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!