PRK Ayer Kuning: Tiga teras jadi keutamaan jika menang PRK

Mohamad Yusri
Mohamad Yusri
A
A
A

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir menjadikan tiga teras utama sebagai tumpuan sekiranya diberi mandat pada 26 April ini.

Teras merangkumi aspek pendidikan, sukan dan infrastruktur itu dilihat sebagai asas penting dalam meneruskan legasi Allahyarham Ishsam Shahruddin yang sebelum ini menyandang kerusi DUN berkenaan.

Beliau berhasrat menyambung usaha dan perancangan yang telah digariskan sebelum ini, sambil menambah nilai tersendiri mengikut acuan dan pendekatan semasa.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Saifullah Ahmad bersama Mohamad Yusri.

_________________________________________________________________________________________________

Sinar Harian: Apa keutamaan yang diberikan sekiranya diberi mandat oleh pengundi Ayer Kuning?

Mohamad Yusri: Pertama sekali saya ingin merakamkan sekali lagi ucapan terima kasih kepada kepimpinan BN terutama pengerusi yang telah memberi kepercayaan kepada saya mewakili BN dalam PRK ini. Sebagaimana kita tahu PRK ini diadakan kerana pemergian Allahyarham Ishsam Shahruddin dan sudah pasti ia menjadi tanggungjawab menggalas tugas besar.

Kalau dipilih, sudah pasti saya akan menyambung apa yang telah dirancangkan, diusahakan oleh Allahyarham sebab saya rapat dengan beliau. Saya menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Tapah dan beliau seorang yang merendah diri dan begitu baik dengan semua orang. Saya pastinya akan meneruskan apa yang dihajatkan dalam bahasa mudah dihajatkan oleh Allahyarham terutama dalam tiga teras iaitu pendidikan, sukan dan infrastruktur.

Artikel Berkaitan:

Ini teras untuk membangunkan DUN Ayer Kuning sebab kita tengok dalam pendidikan misalnya Allahyarham bersama Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan memperkenalkan sebuah program yang memberi fokus kepada pendidikan dan kebetulannya saya merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Tapah.

Beliau komited dan suruh saya bersedia untuk melahirkan satu generasi yang cemerlang dalam bidang pendidikan bermula pada tahun 2000, sejak Tahun Dua sekarang ini murid tersebut sudah berada di Tingkatan Dua dan kita jangka 2028 itu akan memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malangnya Tuhan tak mengizinkan Allahyarham untuk melihat hasilnya.

Mohamad Yusri menyantuni penduduk dan pengundi Kampung Baharu Coldstream di Bidor pada Ahad.
Mohamad Yusri menyantuni penduduk dan pengundi Kampung Baharu Coldstream di Bidor pada Ahad.

Sudah pastilah hajat beliau itu akan saya realisasikan jika terpilih sebagai ADUN. Dari segi teras sukan pula, kalau kita tengok Allahyarham aktif bersukan tambahan latar belakangnya sebagai bekas pemain bola sepak Perak dan kebangsaan. Beliau pernah suarakan di dalam DUN bahawa kawasan ini tidak ada kemudahan sukan yang lengkap dan adakalanya terpaksa pergi ke UPSI.

Beliau nak lihat ada kemudahan seperti trek balapan olahraga dan sebagainya. Begitu juga dengan teras ketika iaitu infrastruktur di Ayer Kuning yang perlu dipertingkatkan untuk kemudahan penduduk.

Adakah anda hanya akan meneruskan legasi tersebut dan apakah ada perancangan sendiri untuk penduduk di DUN Ayer Kuning?

Saya akan meneruskan apa sahaja yang ditinggalkan ini tetapi sudah pastilah acuan saya sendiri kerana gaya kepimpinan berbeza. Impian Allahyarham itu menjadi panduan dan saya akan ubah suai mengikut keadaan semasa, begitu juga pelaksanaannya. Cuma dari segi tiga teras itu tidak akan berubah.

SH: Apakah kekuatan Ayer Kuning yang boleh membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat dan memajukan kawasan?

Saya nampak kita mempunyai tanah yang luas yang boleh dijadikan hab untuk pengeluaran makanan dan perkara ini juga dipersetujui oleh Allahyarham sebelum ini. Kita boleh bangunkan ekonomi masyarakat setempat melalui aktiviti pertanian kerana sektor keterjaminan makanan mempunyai peluang yang luas.

Istilah mudahnya, dalam keadaan apa sekalipun orang akan cari makan dan sekali gus bidang pertanian ini akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Malah dengan era moden ini bidang pertanian boleh menghasilkan pendapatan yang lumayan. Antara tanaman yang berpotensi di kawasan ini seperti ubi kayu, nanas dan sebagainya.

Mohamad Yusri
Mohamad Yusri

SH: Dengan latar belakang sebagai seorang agamawan, bagaimana anda akan memastikan semua kaum dan agama merasa selesa dan diwakili?

Saya nampak DUN Ayer Kuning ini boleh dilihat sebagai satu gambaran bermula daripada Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia. Ia memberi gambaran komposisi kaum di Malaysia. Kalau tengok di kawasan Tapah ini daripada dahulu tiga wakil rakyat diwakili oleh Melayu, Cina dan India. Saya sebagai Setiausaha BN Bahagian Tapah terlibat dengan banyak program sambutan perayaan kaum di negara ini seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas dan sebagainya.

Keadaan ini menggambarkan Islam merupakan agama yang dilihat sebagai agama keharmonian. Sebagai seorang Muslim kita selamat dan bukan Muslim itu juga dijamin selamat. Ini yang berlaku di Malaysia. Saya sangat menitikberatkan perkara inilah.

Tuhan sebut kita dilarang mencerca agama lain sebab bila kita mencerca agama lain, mereka akan mencerca agama kita. Bukan agama Islam saja, agama lain pun tak boleh mencerca di antara satu sama lain sebab agama tidak boleh dimanipulasi untuk merosakkan keharmonian, itu salah bagi saya. Saya mengajar moral, jadi saya lihat bahawa agama lain juga ada nilai-nilai sejagat. Jadi kita menghormati orang, tidak ada masalah kalau kita berpegang dengan ajaran dan nilai-nilai yang ada dalam dalam nilai sejagat.

SH: Meninggalkan kerjaya sebagai pendidik pasti satu benda yang dirindukan selepas ini. Bagaimana mahu menyesuaikan diri daripada seorang pendidik menjadi seorang ahli politik?

Saya memulakan perkhidmatan bermula 1 Disember 1992. Jadi maknanya bila bersara, saya sudah jadi pendidik selama 32 tahun. Jadi rindu itu bila sudah lama, kita pasti akan rindu kepada benda yang kita kita buat berpuluh-puluh tahun. Tapi saya percaya bahawa apabila kita jadi ahli politik, bermakna bukan kita meninggalkan bidang yang kita sayangilah. Kita boleh buat sesuatu yang boleh dikaitkan dengan kerjaya pendidik yang kita.

Mohamad Yusri ketika hadir memeriahkan program Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Air Kuning pada Ahad.
Mohamad Yusri ketika hadir memeriahkan program Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Air Kuning pada Ahad.

SH: Apakah strategi untuk memenangi hati pengundi di DUN Ayer Kuning ini?

Saya tadi dah sebutkan kekuatan saya namun elemen penting antaranya aura kepimpinan Allahyarham Ishsam yang akan membantu kita. Saya yakin sebab Allahyarham ketika masih hidup dia tak kira parti, dia tak kira orang, dia tak kira kaum, dia boleh bergaul mesra dan perkara ini boleh disahkan oleh sesiapa saja. Beliau sangat komited dengan tugas dan tanggungjawabnya jadi saya bersyukur dapat menumpang aura Allahyarham.

Satu lagi kekuatan saya ialah ahli keluarga. Orang tempatan amat mengenali Allahyarham ayah saya, Ustaz Bakir. Kalau di sebelah Ayer Kuning, kita nampak golongan pertengahan dengan golongan lama mengenali saya sebab arwah ibu bapa saya dahulu merupakan guru agama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!