Manchester City dominasi, terima agihan tertinggi UEFA €5.17 juta

Stadium Etihad venue keramat Manchester City. FOTO: AGENSI
Stadium Etihad venue keramat Manchester City. FOTO: AGENSI
A
A
A

GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, terus membuktikan pengaruh serta dominasi mereka bukan sahaja di peringkat domestik dan Eropah, malah turut diiktiraf sebagai antara penyumbang utama pemain kepada skuad kebangsaan.

Terbaharu, The Citizens muncul sebagai penerima agihan dana tertinggi daripada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), dengan jumlah mencecah 5.17 juta Euro.

Dana tersebut adalah sebahagian daripada Program Faedah Kelab UEFA, satu inisiatif yang diwujudkan oleh badan induk bola sepak Eropah itu bagi menghargai kelab-kelab yang melepaskan pemain mereka untuk tugasan antarabangsa.

Untuk rekod, sejumlah 233 juta Euro telah diagihkan kepada 901 kelab dari 55 ahli gabungan UEFA.

Ganjaran ini adalah sebagai penghargaan atas pelepasan pemain ke kejohanan Liga Negara-Negara UEFA 2020–21 dan 2022–23, peringkat kelayakan Kejuaraan Eropah 2022–24, serta pusingan akhir Euro 2024.

Stadium Etihad venue keramat Manchester City. FOTO: AGENSI
Stadium Etihad venue keramat Manchester City. FOTO: AGENSI

Di tempat kedua ialah kelab elit La Liga Sepanyol, Real Madrid, yang menerima 4.79 juta Euro, diikuti Inter Milan dari Serie A Itali yang meraih agihan sebanyak 4.65 juta Euro.

Mekanisme pengagihan ini dilaksanakan secara adil, dengan setiap kelab menerima bayaran yang sama bagi setiap pemain yang dilepaskan untuk setiap perlawanan Liga Negara-Negara UEFA dan kelayakan Euro.

Artikel Berkaitan:

Tambahan pula, kelab turut menerima bayaran tetap harian sepanjang pemain mereka beraksi dalam kejohanan akhir.

Menariknya, manfaat program ini turut merentasi pelbagai lapisan struktur bola sepak Eropah apabila kelab Divisyen 10 Liga Inggeris, Yorkshire Amateur turut menerima agihan sebanyak 7,300 Euro, sekaligus membuktikan bahawa sumbangan di peringkat akar umbi turut dihargai.

Sementara itu, Presiden UEFA, Aleksander Čeferin, menyuarakan rasa bangganya terhadap impak program ini.

“Sungguh membanggakan melihat kelab dari pelbagai saiz dan peringkat dalam hierarki bola sepak menerima ganjaran kewangan atas peranan penting mereka dalam membangunkan pemain yang menyumbang kepada kejayaan pasukan kebangsaan, termasuk di pentas final Euro 2024 baru-baru ini,” katanya.

Jumlah keseluruhan dana yang diperuntukkan untuk pelepasan pemain juga menunjukkan peningkatan ketara kepada 100 juta Euro, berbanding 70 juta Euro pada kitaran sebelumnya.

Bagi dana khusus Kejuaraan Eropah pula, peruntukan meningkat daripada 130 juta Euro kepada 140 juta Euro, yang diagihkan kepada 196 kelab dari 29 negara anggota UEFA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!