Pekerja syarikat keselamatan bebas tuduhan edar hampir 31kg dadah

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan seorang pekerja syarikat keselamatan daripada empat pertuduhan mengedar dadah seberat 30, 891.7 gram, empat tahun lepas.
Peguam Nabila Habib yang mewakili S Sukumaran ketika dihubungi pemberita berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Wendy Ooi Su Ghee membuat keputusan itu semalam, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
"Mahkamah mendapati terdapat keraguan dalam identiti barang kes iaitu dadah dan terdapat keraguan dadah dirampas adalah dadah sama dengan yang dikemukakan di mahkamah.
"Selain itu, mahkamah mendapati terdapat kenaikan jumlah berat dadah yang serius selepas dirampas daripada tertuduh," kata Nabila dan menambah kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nazri Omran dan peguam, Datuk N Sivananthan.
Perbicaraan kes berkenaan bermula 17 September 2024 dengan 12 saksi pendakwaan telah memberikan keterangan.
Mengikut empat pertuduhan, Sukumaran, 31, didakwa mengedar heroin seberat 1,945.4 gram (g), 638gMonoacetylmorphines dan 28,308.3g Methamphetamine, di sebuah rumah di Bandar Kinrara Puchong, Selangor dan di tempat letak kenderaan di Bandar Kinrara Puchong, pada jam 1.30 petang dan 2.15 petang, 17 Mei 2021.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
