Lelaki jatuh bot ketika jaring udang belum ditemui

Komander Operasi, Penolong Bomba Kanan I (KUP) Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu kira-kira jam 1.10 tengah hari pada hari kejadian.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta beberapa balai bantuan lain bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mengesahkan kejadian melibatkan seorang lelaki dewasa yang dipercayai terjatuh dari bot ketika menjaring udang.
“Kerja-kerja pencarian dilakukan berhampiran perairan antarabangsa Malaysia-Singapura berdasarkan maklumat daripada abang mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, operasi pencarian turut membabitkan tiga penyelam PPDA yang melakukan selaman pada kedalaman kira-kira 20 meter menggunakan peralatan khas lengkap 'underwater communication' dan 'twin tank'.
Bagaimanapun, katanya, operasi ditangguhkan pada jam 6.50 petang berikutan faktor cuaca gelap dan laluan perkapalan sibuk berhampiran pelabuhan.
Operasi yang diketuai Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Sarhan Akmal Mohamad itu membabitkan 28 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera 'Fire Rescue Tender' (FRT), sebuah lori Isuzu Hicom, tiga pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan Toyota Hilux serta dua bot aluminium.
Turut serta membantu operasi ialah sembilan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tujuh pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), enam anggota polis 'Johor Port', lapan anggota bomba 'Johor Port' dan lima anggota ambulans bomba.
“Operasi pencarian akan disambung semula selepas keadaan cuaca mengizinkan dan faktor keselamatan dipastikan, memandangkan lokasi kejadian berhampiran laluan perkapalan utama,” katanya.
Sinar Harian kini sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak polis berkaitan kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


