Nelayan jatuh bot ketika jaring udang ditemui lemas

PASIR GUDANG– Seorang nelayan ditemukan lemas selepas terjatuh dari bot ketika menjaring udang di perairan Johor Port, pada Isnin.
Mangsa, Mohammad Ronney Teo Abdullah, 49, dijumpai pada jam 1.45 tengah hari pada Selasa selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Hazrul Rahmad berkata panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima pada pada jam 1.10 tengah hari pada Isnin.

Katanya,seramai 28 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Skudai, Johor Jaya dan Larkin terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Setibanya di lokasi, pasukan operasi menjalankan SAR berhampiran perairan antarabangsa Malaysia-Singapura, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh abang mangsa.
"Selaman dilakukan oleh tiga penyelam pada kedalaman 20 meter, namun operasi ditangguhkan pada jam 6.50 petang disebabkan keadaan cuaca yang gelap serta lalu lintas perkapalan yang sibuk berhampiran pelabuhan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, pada jam 1.45 tengah hari, mayat mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan jatuh oleh abang mangsa sendiri.
"Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.40 petang. Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
"SAR kali ini turut membabitkan anggota PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Johor Port dan Bomba Johor Port," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

