Bursa Malaysia meningkat semula selepas dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini namun mencatatkan peningkatan semula
Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini namun mencatatkan peningkatan semula
A
A
A

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini namun mencatatkan peningkatan semula selepas itu untuk meneruskan pemulihan semalam, disokong reaksi positif terhadap pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dalam keadaan kebimbangan mengenai penularan koronavirus (Covid-19).

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.18 mata kepada 1,479.82 daripada 1,478.64 ketika ditutup pada Selasa.

Pada pembukaan pasaran, indeks itu dibuka 0.31 mata lebih rendah pada 1,478.33.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 230 berbanding 86, manakala 167 kaunter tidak berubah, 1,515 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 186.89 juta saham bernilai RM122.85 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata FBM KLCI turut mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang agak stabil dalam tempoh semalaman namun sentimen kekal berhati-hati terhadap perkembangan Covid-19.

Dalam pada itu, pengumuman BNM bagi pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas untuk menyokong ekonomi daripada sebarang kaitan yang timbul berikutan Covid-19 juga telah menyumbang kepada prestasi positif bursa tempatan, menurutnya.

Ia merupakan pengurangan yang kedua oleh BNM tahun ini, seiring dengan langkah yang sama oleh beberapa bank pusat di seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan ketidaktentuan yang nampaknya tiada sebarang keredaan, susulan prestasi Wall Street bagi tempoh semalaman, ia sekali gus mungkin mempengaruhi bursa tempatan dengan indeks utama dijangka bergerak kepada paras sokongan 1,455.

“Pada masa sama, kami tetap berhati-hati bahawa sebarang peningkatan semula mungkin sederhana dengan paras rintangan utama bursa tempatan ditetapkan masing-masing pada 1,495 dan 1,510,” menurut Malacca Securities.

Firma itu juga berkata kesimpulan daripada tempoh pelaporan kewangan suku tahunan juga menyaksikan pertumbuhan keuntungan juga tidak begitu memberangsangkan, menunjukkan sentimen pasaran mungkin kekal suram bagi jangka pendek.

Bagi saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.42, Tenaga menambah empat sen kepada RM12.54 dan CIMB meningkat enam sen kepada RM4.56.

Public Bank susut dua sen kepada RM17.74 manakala IHH tidak berubah pada RM5.60.

Antara saham aktif, XOX, DGB Asia dan waran Reach Energy masing-masing turun setengah sen kepada 3.5 sen, 4.5 sen dan dua sen.

Careplus menambah satu sen kepada 28.5 sen dan Vortex naik setengah sen kepada 8.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 2.54 mata kepada 10,428.70, Indeks FBM Emas Syariah susut 11.59 mata kepada 11,059.40, FBM 70 kurang 29.64 mata kepada 12,701.67 dan FBM Ace menguncup 34.49 mata kepada 5,214.51.

Indeks FBMT 100 naik 0.75 mata kepada 10,253.76.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.29 mata kepada 132.05, Indeks Perladangan merosot 50.45 mata kepada 6,699.60 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 24.31 mata kepada 14,337.63.-Bernama