Krisis makanan capai tahap kebuluran di Gaza

GENTING GAZA - “Kebuluran bukan lagi risiko, namun sudah menjadi realiti di Gaza'.
Amaran itu diberikan kumpulan pemerhati hak asasi manusia, Euro-Med ketika mengutuk sekatan menyeluruh Israel ke atas bantuan kemanusiaan ke wilayah tersebut sejak 45 hari lalu.
"Sekatan tersebut adalah yang paling lama dikenakan rejim Tel Aviv sejak perang genosid dilancarkan ke atas Gaza lebih 18 bulan lalu,” ujar kumpulan berpusat di Geneva itu.

Menurutnya, pasukan lapangan mereka melihat petunjuk membimbangkan kerana krisis makanan yang teruk akan mencapai tahap kebuluran tidak lama lagi.
“Penduduk Palestin kini berdepan kekurangan bekalan makanan penting termasuk bijirin dan sumber protein untuk melengkapkan nutrisi harian mereka,” tegasnya lagi.
Difahamkan, baki bekalan makanan termasuk hasil pertanian di Gaza telah dibom atau berada di bawah kawalan Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
“Ramai penduduk terpaksa menjual apa jua barangan milik mereka demi untuk membeli makanan. Mereka sudah tidak lagi dapat menahan lapar. Kebanyakan keluarga terpaksa mencatu makanan harian mereka,” menurutnya.

Kenyataan itu juga mendedahkan golongan paling terkesan adalah wanita dan kanak-kanak yang menderita kerana kekurangan zat makanan.
“Pertumbuhan kanak-kanak di Gaza terbantut dan sistem imun tubuh mereka menjadi lemah kerana kekurangan bekalan makanan serta tidak mendapat penjagaan kesihatan sepatutnya.
“Keadaan wanita hamil dan ibu yang masih menyusukan anak mereka juga terancam kerana tidak mendapat nutrisi yang lengkap,” tambahnya sambil menggesa Israel dipertanggungjawabkan kerana menggunakan kelaparan sebagai senjata terhadap orang awam yang merupakan salah satu perbuatan jenayah perang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dua juta tiada sumber pendapatan
Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran malapetaka kemanusiaan di enklaf itu telah menyebabkan hampir dua juta penduduk Palestin tidak mempunyai sumber pendapatan.
Menurutnya, mereka bergantung penuh kepada bantuan kemanusiaan untuk mendapatkan bekalan makanan asas buat keluarga masing-masing.

“Stok makanan semakin berkurangan akibat sekatan ketat Israel yang sengaja menutup lintasan sempadan kepada konvoi bantuan. “Aliran penghantaran itu sepatutnya disekat untuk memenuhi keperluan penduduk Gaza,” ujarnya.
Agensi antarabangsa itu turut memberi amaran tentang akibat buruk jika sekatan itu berterusan yang akan memburukkan lagi kesengsaraan penduduk Palestin.
Ketika ini, hampir seluruh penduduk Gaza hidup dalam keadaan serba daif dan kembali berpindah-randah tanpa arah tuju setelah IDF memperhebatkan kempen serangan ke atas seluruh wilayah tersebut. - Agensi
Info
>Zionis sengaja menyasarkan lebih 37 pusat agihan bantuan dan 28 bank makanan di bawah pelan jahat sistematik untuk menyebabkan kebuluran serta menambah lagi penderitaan penduduk Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!