Warga emas rugi lebih RM300,000 kena tipu pelaburan tak wujud

MUAR - Seorang warga emas berputih mata selepas rugi RM302,100 akibat terpedaya dengan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp pada 10 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa berusia 72 tahun itu menerima mesej daripada nombor tidak dikenali yang menawarkan pelaburan dengan pulangan keuntungan lumayan.
“Pengadu berminat dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan sebelum diterangkan mengenai pulangan yang boleh diperoleh.
"Pada 15 dan 16 April, mangsa membuat tiga transaksi ke dalam akaun sebuah syarikat pelaburan berjumlah RM302,100,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, mangsa yang menggunakan wang simpanannya mula curiga apabila gagal membuat pengeluaran keuntungan seperti dijanjikan menerusi aplikasi diberikan suspek.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang terlalu baik untuk dipercayai, lebih-lebih lagi melibatkan transaksi kewangan.
“Sentiasa ikuti maklumat dan nasihat semasa mengenai modus operandi penipuan kewangan di laman sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

