Tanam semangat cintakan negara sejak di bangku sekolah - Aminuddin

SEREMBAN - Pemakaian lencana Jalur Gemilang pada seragam sekolah bermula Isnin bukan disebabkan jati diri dalam kalangan pelajar kian berkurang sebaliknya ia merupakan langkah penambahbaikan kepada sistem sedia ada.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpandangan, ia merupakan inisiatif baik bagi menambah semangat kecintaan kepada negara sejak di bangku sekolah.
"Bukan sebab semangat itu berkurangan tetapi bagi melahirkan generasi yang sentiasa kasih dan sayang serta mahu berjuang untuk negara.
"Semangat ini yang mahu ditanam dalam jiwa anak-anak kita, bukan bermakna kecintaan itu semakin merosot... tidak, cuma sekarang mahu ia ditambah baik lagi," katanya mengulas berkenaan pelancaran pemakaian lencana Jalur Gemilang bermula Isnin.
Aminuddin ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Isnin.

Beliau sebelum itu berkesempatan menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di SMK King George V.
Ujarnya, langkah itu juga dilihat mampu membantu pelajar mendepani cabaran semasa isu perkauman dan agama dimainkan pihak tertentu bagi memecah-belah perpaduan dalam negara.
"Anak-anak sekarang memahami semangat kecintaan negara cuma apabila dewasa situasinya agak berbeza disebabkan suasana serta penekanan isu perkauman dimainkan.
"Itu sebab penting untuk kita bina negara dan tidak menghancurkannya dengan isu perkauman atau agama.
"Dengan adanya lencana Jalur Gemilang ini diharap ia akan meningkatkan lagi semangat kecintaan sedari kecil hingga dewasa kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

