Perak mudahkan derma masjid melalui portal

IPOH – Kerajaan negeri Perak memperkenalkan kemudahan sumbangan dalam talian kepada masjid menerusi fungsi e-derma yang diperkenalkan dalam portal Perak Digital 2.0.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd Azlan Helmi berkata, inisiatif tersebut diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan terus ke akaun masjid tanpa melalui mana-mana pihak ketiga.
Menurutnya, sehingga kini, antara 10 hingga 15 masjid di seluruh negeri telah dilengkapkan dengan kod QR e-derma yang dimuat naik dalam portal berkenaan.
“Portal Perak Digital 2.0 ini dinaik taraf daripada versi sedia ada dengan beberapa ciri baharu termasuk e-derma. Kita bekerjasama dengan JAIPk untuk mendapatkan kod QR masjid-masjid di seluruh Perak.
“Langkah ini bukan sahaja memudahkan umat Islam untuk menderma pada bila-bila masa, malah dapat mengelakkan penipuan atau scam yang sering berlaku melibatkan kutipan derma oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Portal Perak Digital 2.0 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Tambah Mohd Azlan, fungsi e-derma itu dijangka diperluaskan kepada rumah-rumah ibadat agama lain dengan kerjasama Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Masyarakat India, A Sivanesan.
Katanya, portal berkenaan dibangunkan sebagai platform sehenti (one-stop center) untuk rakyat Perak mengakses pelbagai kemudahan dalam talian yang ditawarkan agensi kerajaan negeri.
“Setakat ini, portal ini mungkin yang pertama seumpamanya di Malaysia yang memuatkan kemudahan e-derma khusus untuk masjid-masjid.
"Kita harap ia jadi pemangkin kepada transformasi digital di peringkat negeri,” ujarnya.
Beliau turut menyasarkan untuk melengkapkan kesemua masjid di negeri ini dengan kod QR e-derma dalam masa terdekat sebelum diperluaskan kepada institusi lain seperti pusat tahfiz.
Katanya, portal tersebut kini telah merekodkan lebih 200,000 pengguna berdaftar dan menawarkan pelbagai aplikasi digital seperti e-Perjawatan, e-Internship, e-Pensijilan Halal, direktori e-dagang S.M.A.R.T Niaga@Perak dan e-Tempahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

