PRN Sabah: Beri ruang GRS-PH Plus bincang, perhalusi pendekatan kerjasama

Armizan (tiga dari kiri) dan Hajiji (empat dari kiri) mengiringi Musa (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada majlis sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang di Dewan SMK Pengalat, Papar.
Armizan (tiga dari kiri) dan Hajiji (empat dari kiri) mengiringi Musa (lima dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada majlis sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang di Dewan SMK Pengalat, Papar.
A
A
A

PAPAR - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus sebagai kerajaan sedia ada perlu diberi ruang untuk berbincang dan memperhalusi pendekatan terbaik dalam menentukan rakan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Pendirian tegas itu disuarakan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali yang menyatakan beliau sehaluan dengan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung perkembangan terbaharu landskap politik di negeri ini.

"Itu pendirian beliau (Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin), pendirian saya sama seperti yang telah diumumkan Pengerusi GRS, bahawa akhirnya yang menentukan hala tuju politik menjelang PRN bagi kita adalah kerajaan yang berada dalam kerajaan negeri pada hari ini.

"Biarlah gabungan kerajaan pada hari ini menentukan, membincangkan dan memurnikan apa bentuk pendekatan ke hadapan menjelang PRN dan saya amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah yang juga merangkap Pengerusi GRS tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Aidilfitri yang diadakan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat di sini pada Ahad.

Sebelum itu, Armizan diminta mengulas mengenai pengumuman Bung Moktar baru-baru ini yang menyatakan UMNO-Barisan Nasional (BN) Sabah bergabung dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN17.

Tambah beliau, rundingan antara parti-parti dalam kerajaan adalah amat penting dalam menentukan hala tuju kerjasama menjelang pilihan raya akan datang.

"Jadi apa keputusannya akan dirundingkan terlebih dahulu di kalangan parti gabungan, jadi saya fikir itu penting dan ia telah ditegaskan Ketua Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana kerajaan hari ini terdiri daripada GRS-PH Plus dan biarlah gabungan kerajaan pada hari ini menentukan," tegasnya.

Terdahulu, mengulas mengenai majlis tersebut, beliau memaklumkan kira-kira 18,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman serta Hajiji.

Selain itu, sebanyak 200 sumbangan disampaikan kepada golongan asnaf, termasuk 100 daripadanya diserahkan sendiri oleh Tun Musa pada majlis berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!