14 tan cili dirampas langgar syarat sah import
Pic: gambar hiasan

BUKIT KAYU HITAM - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam merampas 14 tan cili bernilai kira-kira RM42,000 kerana disyaki gagal mematuhi syarat permit import.
Unit Komunikasi Korporat AKPS dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa tindakan itu dikesan ketika pemeriksaan pada jam 9.40 malam di Kompleks Kuarantin, Imigresen, Kastam dan Keselamatan (ICQS) dilakukan pada Jumaat.
Menurut kenyataan berkenaan, ia dikesan selepas pemeriksaan dibuat ke atas kontena yang membawa sayur segar dari negara jiran.
"Pemeriksaan mendapati komoditi cili tersebut tidak mematuhi syarat permit import GPL seperti yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Penggredan, Pembungkusan Dan Pelabelan Keluaran Pertanian) 2008 atau Sijil Perakuan Pematuhan 3P yang sah.
"Pemeriksaan dijalankan sebagai prosedur biasa ke atas kontena import yang melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam," katanya.
Susulan itu, notis mengikut Seksyen 15(1) Akta MAQIS 728 telah dikeluarkan.
Barang rampasan ditahan untuk tindakan lanjut bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

