Kos baiki mahal, tidak berbaloi

Laporan Khas Sinar Ahad berhubung isu lambakan kereta usang. Gambar kecil: Khairul Azrie
Laporan Khas Sinar Ahad berhubung isu lambakan kereta usang. Gambar kecil: Khairul Azrie
A
A
A

SHAH ALAM - Kos membaik pulih kereta yang lebih mahal serta tidak menguntungkan menjadi faktor utama kebanyakan kenderaan itu dibiarkan tersadai begitu sahaja sama ada di tepi jalan mahupun kawasan perumahan.

Pekerja swasta, Khairul Azrie Eddy Yazid, 35, berkata, kos yang mencecah ribuan ringgit untuk membaiki kereta lama dianggap tidak berbaloi berikutan harga tersebut hampir dengan membeli kenderaan baharu jenis sama.

Malah, dia juga membuat keputusan untuk menjual kereta jenis Proton Iswara Aeroback miliknya selepas dibiarkan tersadai selama dua tahun di kawasan parkir.

“Sebenarnya, kereta saya sudah lama tersadai dalam dua tahun disebabkan berlaku kemalangan kecil. Jadi, mahu membaik pulih kereta lama lagi mahal iaitu lebih kurang RM2,000 dan harga ini sudah boleh dapat kereta baharu jenis sama.

“Lagipun, pangsapuri saya duduk sekarang tiada parkir khas dan kereta ini pula terbiar lama. Ramai penduduk yang bising. Sebab itu saya ambil keputusan untuk jual. Nak sayang pun tidak guna juga.

“Ada sesetengah individu tidak jual terus sebuah kereta lama ini tetapi dia jual mengikut bahagian kereta yang mana masih boleh digunakan, tetapi kalau saya tidak mahu pening kepala dan terus jual,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tambah Khairul Azrie, dia menolak untuk menjual kereta usang berkenaan mengikut bahagian kenderaan walaupun mengakui lebih menguntungkan.

Dia berpuas hati dengan harga yang ditawarkan walaupun hanya menerima RM900.

Artikel Berkaitan:

“Mereka tawarkan saya RM1,100 tetapi selepas kami berunding dan saya juga ada ambil sedikit bahagian kereta menyebabkan mereka tolak dan dapat RM900. Bagi saya, harga ini masih berbaloi dan selesai dalam masa dua hari sahaja.

“Sebenarnya, kalau jual mengikut bahagian kereta lebih untung tetapi dalam jangka masa panjang berbanding kalau jual terus,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!