Empat model kereta yang paling banyak dibiarkan tersadai

GEORGE TOWN - Kereta jenis Proton Saga, Proton Wira, Perodua Kancil dan KIA adalah kenderaan yang paling banyak tersadai di kawasan perumahan atau di tepi jalan.
Pengarah syarikat RKV Resources yang membeli kenderaan scrap, K Umadevi berkata, kesemua kenderaan itu rosak teruk dan memerlukan modal besar untuk dibaiki.
“Pembelian akan dibuat berdasarkan beberapa penilaian, antaranya ketersediaan alat ganti dan jenama kereta. Purata keuntungan yang syarikat peroleh daripada setiap kereta buruk ialah sekitar RM150 hingga RM200. Ia bergantung kepada rundingan bersama penjual atau pemilik kereta,” katanya.
Umadevi berkata, caj pengangkutan dan harga lebihan merupakan cabaran perlu dihadapinya ketika membuat rundingan.
“Ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana setiap pemilik atau penjual tidak sama. Masing-masing ada pendapat mereka sendiri,” katanya.
Tambah beliau, kereta yang akan dilupuskan akan menjalani beberapa proses iaitu bermula dengan meleraikannya.
“Kami akan meleraikan, mengasingkan mengikut kategori bahan serta memotongnya kepada beberapa bahagian.
“Sisa buangan yang tidak boleh digunakan akan dilupuskan dengan cara yang betul,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan sistem pembatalan pendaftaran kenderaan motor secara atas talian yang dikenali sebagai e-Dereg dalam usaha menangani isu lambakan kenderaan terbiar di kawasan perumahan.
Sistem e-Dereg akan membolehkan mana-mana pemilik berhasrat melupuskan kenderaan motor melengkapkan proses pembatalan pendaftaran kenderaan itu secara dalam talian dalam tempoh kurang sejam, tanpa perlu hadir di kaunter JPJ lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!