Hannah gesa MA selesaikan isu dalaman atlet

Hannah Yeoh - Foto: Bernama
Hannah Yeoh - Foto: Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa Olahraga Malaysia (MA) menyelesaikan isu dalaman membabitkan beberapa atlet pecut negara.

Hannah berkata beliau tidak mahu isu itu menjejaskan prestasi skuad olahraga negara terutama persediaan mereka untuk beraksi di Sukan SEA Thailand yang akan berlangsung Disember ini.

"Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengadakan banyak perbincangan dengan MA termasuk Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin, kita dengar pelbagai versi, kita beri mereka satu lagi peluang termasuk untuk selesaikan secara dalaman mengenai apa perancangan MA untuk atlet mereka.

"Kita tidak mahu MA mengambil masa yang lama untuk selesaikan, selesaikan secepat mungkin. Kita tidak mahu Sukan SEA terjejas, atlet sepatutnya sudah berada dalam latihan,” katanya pada sidang media di MSN di sini hari ini.

Tiga atlet pecut negara tidak menyertai latihan yang dikendalikan oleh Pengarah Teknikal Robert Ballard sejak sebulan lepas.

Seorang daripada atlet terbabit mendakwa tiada program berkesan dilaksanakan sejak Ballard menyertai kem olahraga dua tahun lepas manakala seorang lagi memilih untuk kembali menjalani latihan di bawah bekas jurulatih negara Mohd Poad Md Kassim.

Terdahulu, Presiden MA Datuk Seri Shahidan Kassim berkata persatuan itu berhasrat menyelesaikan perkara tersebut secara baik menerusi pendekatan menang-menang dan siasatan terperinci akan dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan diambil, dengan jaminan bahawa kebajikan atlet terus menjadi keutamaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!