Chelsea perlu tajam semula buru kelompok lima teratas

PENGENDALI Chelsea, Enzo Maresca, menegaskan bahawa pemain The Blues harus menerima tekanan yang sedang dialami dengan memanfaatkan sepenuhnya baki perlawanan musim ini untuk mengubah haluan kempen kelab London itu.
Gesaan Maresca hadir menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang seteru setempat, Fulham di Craven Cottage pada Ahad.
Skuad Maresca, yang berhasrat untuk kembali ke Liga Juara-Juara Eropah setelah dua musim yang mengecewakan, kini merosot ke tangga keenam dalam liga.
Penurunan ini susulan keputusan seri ketika menentang Brentford dan Ipswich Town, pasukan yang sedang bergelut dengan penyingkiran.
Kelab London itu juga dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada kelab Poland, Legia Warsaw, dalam perlawanan kedua pusingan suku akhir Liga Konferensi Europa pada Jumaat.
Bagaimanapun, mereka berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan tahap dua Eropah tersebut dengan kelebihan agregat 4-2.
Ketika ditanya sama ada ini adalah waktu yang kurang sesuai untuk Chelsea berhadapan dengan Fulham dalam sebuah derbi, Maresca dengan tegas menyatakan:
"Tidak, pada saat ini tiada waktu yang buruk. Yang ada hanyalah waktu yang tepat untuk memainkan mana-mana perlawanan.
"Kami mempunyai enam perlawanan Liga Perdana, ditambah dua perlawanan separuh akhir Liga Konferensi Europa. Jadi, pada masa ini, kami mempunyai lapan perlawanan rasmi untuk dimainkan, dan kesemuanya adalah waktu yang baik untuk beraksi.
"Semuanya penting. Kita tidak boleh menentukan pada saat mana. Sekarang adalah waktunya untuk berusaha jika kita ingin mencapai sesuatu."
Sementara itu, Chelsea dilihat kekurangan ketajaman di barisan serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan kedua-dua penyerang utama, Cole Palmer dan Nicolas Jackson, mengalami kemarau gol yang berpanjangan.
Mengulas lanjut Maresca berpendapat bahawa kelab itu hanya akan mampu menamatkan saingan di kelompok lima teratas jika kedua-dua pemain tersebut dapat menemukan kembali sentuhan terbaik mereka.
"Mereka telah menjaringkan gol pada masa lalu.
"Ini hanyalah satu fasa yang perlu mereka atasi sedikit. Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, Cole telah menjaringkan 14 gol dalam 20 perlawanan Liga Perdana (musim ini). Jadi, dia memang telah menjaringkan gol. Nico juga sama sebelum kecederaan.
"Kini, malangnya, Nico telah berehat selama dua bulan. Jadi, mungkin aspek fizikalnya memerlukan sedikit lebih banyak pemulihan."
Dalam pada itu, pengendali dari Itali itu turut memaklumkan bahawa Chelsea akan dapat menggunakan khidmat pemain tengah, Romeo Lavia, ketika menentang Fulham.
Namun, beliau menekankan bahawa pemain kelahiran Belgium itu akan diturunkan secara beransur-ansur untuk mengelakkan sebarang isu kecederaan lanjut.
Lavia hanya tampil dalam dua perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak awal Disember dan baru-baru dan perlu mengharungi proses pemulihannya daripada kecederaan hamstring.
JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (19 APRIL)
Brentford lwn Brighton, 10 malam
West Ham United lwn Southampton, 10 malam
Everton lwn Manchester City, 10 malam
Crystal Palace lwn Bournemouth, 10 malam
AHAD (20 APRIL)
Aston Villa lwn Newcastle United, 12.30 tengah malam
Ipswich Town lwn Arsenal, 9 malam
Manchester United lwn Wolverhampton, 9 malam
Fulham lwn Chelsea, 9 malam
Leicester City lwn Liverpool, 11.30 malam
SELASA (22 APRIL)
Tottenham Hotspur lwn Nottingham Forest, 3 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
