Beruang ceroboh kawasan rumah 'curi' madu kelulut

SETIU - Seorang nelayan tidak menyangka bunyi bising pada tengah malam rupanya angkara seekor beruang yang 'mencuri' madu kelulut diusahakan berdekatan rumahnya di Kampung Pengkalan Gelap di sini.
Shahrul Amirul Aziz, 28, berkata, dia hanya menyedari sarang kelulut miliknya dimusnahkan haiwan liar itu ketika keluar rumah kira-kira jam 7 pagi pada Rabu.
"Waktu tengah malam saya ada terdengar bunyi bising dekat luar rumah, tapi ingatkan bunyi biasa saja, tak sangka keesokan harinya ada bekas beruang yang datang mencari madu.
"Bila keluar pagi, saya terkejut tengok lima daripada tujuh sarang kelulut bertaburan atas tanah dan madunya habis dimakan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Khamis.
Shahrul berkata, walaupun sarang kelulut itu telah dibaiki semula, dia bimbang koloni kelulut spesies 'heterotrigona itama' yang dipelihara akan meninggalkan sarang akibat ancaman beruang tersebut.

Katanya, lebih membimbangkan apabila kejadian itu turut menimpa seorang lagi penduduk kampung pada malam yang sama.
"Saya risau kalau beruang ni terus berkeliaran, mungkin ancam keselamatan kami sekeluarga dan penduduk lain," katanya yang kerugian kira-kira RM200.
Menurut Shahrul, aduan berhubung gangguan haiwan liar itu telah dilaporkan kepada ketua kampung dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Setakat ini pihak berkuasa telah memasang perangkap bagi mengesan haiwan berkenaan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
