Ghairah buat umrah jangan sampai tertipu
Khatib ingatkan agar semak latar belakang syarikat pengendali sedia pakej umrah murah agar tidak berputih mata

AKHIR-AKHIR ini semakin ramai umat Islam memperuntukkan kewangan mereka untuk mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Makkah al-Mukarramah.
Lihat sahaja kehadiran umat Islam pada bulan Ramadan yang lalu, direkodkan lebih 25 juta umat Islam telah hadir ke Masjidil Haram pada 10 hari pertama bulan tersebut.
“Keadaan ini mungkin disebabkan kuota haji yang telah dihadkan kerajaan Arab Saudi dengan menetapkan hanya satu peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan penduduk sesebuah negara bagi mengerjakan fardu haji pada tahun berkenaan.

“Kesan daripada itu, ibadah umrah menjadi semakin popular dalam kalangan umat Islam, termasuk di Malaysia,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat bertajuk Berhati-hati dalam keghairahan umrah, yang dibacakan di seluruh negeri Terengganu sebelum ini.
Menurutnya, ibadah umrah dikategorikan sebagai ibadah perbuatan atau manasik dan pensyariatannya juga sama seperti ibadah haji.
Khatib kemudian membacakan ayat ke-196 surah al-Baqarah: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana ALLAH, maka sekiranya kamu dikepung dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta sembelihlah binatang dam yang mudah didapati. Dan janganlah kamu mencukur kepala kamu untuk bertahallul, sebelum binatang dam itu sampai dan disembelih di tempatnya.”
“Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa ibadah umrah juga merupakan satu tuntutan syarak sebagaimana ibadah haji,” jelas khatib.
Rasulullah SAW juga bersabda mengenai fadilat yang amat besar apabila menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi: “Solat di masjidku ini lebih seribu kali fadilatnya jika dibandingkan dengan masjid yang lain kecuali di Masjidil Haram. Ini kerana fadilatnya seratus ribu kali ganda jika dibandingkan dengan solat di masjid yang lain.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
“Daripada hadis tersebut, ia sedikit sebanyak telah menjadikan umat Islam begitu terpanggil untuk mengunjungi tanah suci tersebut.

“Apatah lagi dengan fenomena semasa di tanah air masing-masing yang kurang tarikan untuk mengerjakan ibadah.
“Meskipun masjid-masjid dan surau-surau telah banyak didirikan, bahkan boleh dikatakan setiap kampung mempunyai masjid dan surau. Namun begitu, pengunjungnya masih lagi berkurangan berbanding dengan pengunjung pasar raya mahupun pasar malam,” ujar khatib.
Jangan sangka tiada penipuan dalam ibadah
Menurut khatib, pilihan yang paling bersesuaian untuk keluar seketika daripada mengejar dunia ialah mengerjakan umrah di Tanah Suci.
“Fenomena ini sebenarnya merupakan salah satu usaha dalam mencari lonjakan beribadah sekembalinya nanti ke tanah air tercinta.
“Namun begitu perlu diingatkan, dalam kita teruja dan ghairah untuk mengerjakan ibadah umrah, sikap berhati-hati perlu ada agar tidak terjebak dengan golongan yang mengambil kesempatan di atas keghairahan kita,” jelasnya.
Umumnya menyangka adalah sangat tidak munasabah umat Islam yang beriman tergamak untuk melakukan penipuan terutamanya dalam soal ibadah, ujarnya.
“Namun begitu baru-baru ini, kita dikejutkan dengan ribuan bakal tetamu ALLAH yang terpaksa melupakan hasrat mereka untuk mengerjakan umrah kerana terpedaya dengan tawaran pakej murah dan tidak munasabah.
“Sebahagian daripada masyarakat kita, sering kali terpedaya apabila pakej murah ditawarkan, tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak yang berwajib mengenainya,” jelas khatib.
Beliau mengingatkan bahawa ruang untuk penipuan sentiasa terbuka luas walaupun dalam aspek ibadah.
“Ini adalah kerana dalam urusan ibadat umat Islam tidak akan berkira dan sedia melakukan apa sahaja asalkan diredai ALLAH.

“Secara umumnya kita semua mengetahui bahawa iblis tidak akan leka untuk memastikan umat Islam terjerumus ke dalam neraka.
“Oleh itu, sikap berhati-hati amat penting bagi mengelakkan diri dan keluarga kita terpedaya dengan promosi-promosi yang mempersonakan,” hurai khatib.
Di akhir khutbah, khatib berpesan kepada para jemaah agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam keghairahan melaksanakan ibadah umrah:
1 - Persiapkan ilmu pengetahuan tentang ibadah umrah terlebih dahulu sebelum berangkat ke Tanah Suci.
2 - Pastikan syarikat pengendali umrah tersebut berdaftar dengan pihak berwajib.
3 - Sentiasa peka dengan kenyataan rasmi atau garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia dan juga Arab Saudi.
4 - Semak terlebih dahulu nama anda atau mana-mana individu yang dalam jagaan anda dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan tiada sebarang sekatan untuk ke luar negara.
5 - Elakkan berpesan kepada bakal tetamu ALLAH sesuatu yang sukar dilakukan atau menghilangkan fokus ibadat seperti membawa pulang air zamzam, buah-buahan, pakaian dan sebagainya.
*Teks khutbah Jumaat disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan diterbitkan melalui laman web rasmi jabatan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!