Sulaiman belum terima surat rasmi pelantikan Ketua Menteri Melaka

Mesej tular berkenaan Sulaiman akan mengangkat sumpah Ketua Menteri.
Mesej tular berkenaan Sulaiman akan mengangkat sumpah Ketua Menteri.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung ura-ura pelantikannya sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu.

"Jika ada kebenarannya saya akan maklumkan, namun setakat ini saya belum terima apa-apa surat rasmi.

"Andai pulang dari Kuala Lumpur nanti saya terima surat itu saya akan maklumkan, tapi sekarang tidak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.

Sulaiman memaklumkan, beliau kini dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri pertemuan dengan UMNO Pusat.

Hari ini tular di aplikasi WhatsApp bahawa ADUN Lendu itu akan mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka yang ke-12 yang dijadualkan petang ini.

Sebelum ini Setiausaha UMNO negeri itu sering disebut-sebut bagi jawatan tersebut selain beberapa nama lain termasuk bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang juga ketua pembangkang Melaka.

Selain itu, nama ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut dikaitkan dengan jawatan itu.

Namun, Barisan Nasional (BN) memiliki majoriti kerusi ADUN di negeri ini iaitu sebanyak 13 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Sulaiman yang menjadi wakil rakyat BN bagi penggal kedua itu memiliki karisma tersendiri dan dipercayai mampu memegang amanah yang diberikan termasuk pengalaman yang luas dalam bidang politik dan perniagaan.

Beliau yang berasal dari Kampung Durian Daun Masjid Tanah mudah mesra dengan rakyat dan pengamal media selain sikapnya yang mudah tersenyum dan tutur berbicara lembut sama sebagaimana pada bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.

Namun individu yang layak masih lagi menjadi teka-teki rakyat dan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pernah menyatakan kesemua wakil rakyat BN layak memegang jawatan terpenting negeri itu, bagaimanapun terpulang kepada pucuk pimpinan pusat untuk memilih seorang yang terbaik kerana semuanya terbaik.

Malah, kesemua wakil rakyat BN tidak menafikan mahupun mengiyakan nama Sulaiman dan masing-masing lebih gemar mengunci mulut bagi memastikan rahsia itu tidak terbongkar bila sampai tepat, ketika dan masanya.

Semalam, BN Melaka yang diketuai Ab Rauf mengumumkan berjaya membentuk kerajaan negeri baharu menerusi gabungan bersama dua wakil rakyat dari Bersatu sebelum disusuli ADUN Rembia daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Pengkalan Batu daripada DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee dalam gagasan itu.

Sementara itu, sehingga setakat ini, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung jawatan Ketua Menteri baharu.