PGA rampas anak pokok hampir RM1 juta

Kesemua suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan selanjutnya. - FOTO: PGA
Kesemua suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan selanjutnya. - FOTO: PGA
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis anak pokok bunga dan buah-buahan mencecah nilai hampir RM1 juta di dua lokasi berasingan semasa penugasan Op Taring Wawasan di sini pada Khamis.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, rampasan pertama dilakukan pada jam 6.30 petang di Jalan Besar Rantau Panjang-Pasir Mas selepas menahan sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 1,550 anak pokok buah dan bunga ditemui di dalam lori tersebut dan disyaki mempunyai serangga perosak serta penyakit.

"Seorang pemandu berusia 33 tahun ditahan dan gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tanaman tersebut yang disyaki diseludup dari Thailand," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut beliau, anggaran nilai rampasan ialah RM382,000 termasuk kenderaan dan kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, rampasan kedua dilakukan pada jam 8.30 malam di Kampung Parit Air di sini selepas menahan sebuah lori serta pemandu berusia 29 tahun.

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 2,500 anak pokok buah-buahan ditemui di dalam kenderaan tersebut dan disyaki mempunyai serangga perosak serta penyakit.

"Pemandu juga gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan tanaman tersebut dan disyaki diseludup dari Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Anggaran nilai rampasan bernilai RM525,000 termasuk kenderaan dan kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5," katanya.

Ujar beliau, kesemua suspek dan barangann rampasan diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!