Justin Bieber nafi dakwaan bankrap, kecam sumber 'tidak berinformasi'

Justin Bieber.- Foto: Agensi
Justin Bieber.- Foto: Agensi
A
A
A

BINTANG pop terkenal, Justin Bieber tampil menafikan dakwaan beliau kini berdepan masalah kewangan dan berhutang jutaan dolar sambil menyifatkan laporan tersebut sebagai 'umpan klik' oleh pihak yang tidak mengetahui situasi sebenar.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pasukannya pada Rabu, Bieber, 31, mendakwa laporan yang disiarkan oleh The Hollywood Reporter adalah berdasarkan kenyataan daripada bekas pekerja yang kecewa kerana tidak lagi bekerja bersamanya.

Laporan tersebut mendakwa penyanyi lagu Peaches itu berhutang kira-kira AS$20 juta (RM88 juta) kepada penganjur konsert AEG selepas membatalkan Justice World Tour yang sepatutnya berlangsung sejak 2020 tetapi tergendala akibat pandemik dan masalah kesihatan.

Bieber disahkan menghidap Ramsay Hunt Syndrome yang menyebabkan sebahagian wajahnya lumpuh, lalu membatalkan keseluruhan konsert pada Mac 2023.

Namun, pasukannya menyanggah dakwaan itu dalam kenyataan kepada US Weekly:

“Ini hanyalah umpan klik berdasarkan 'sumber tidak bernama' yang jelas tidak berinformasi dan mungkin kecewa kerana tidak lagi menjadi sebahagian daripada pasukan Justin.

“Sebarang dakwaan bahawa Justin menghadapi masalah kewangan hanyalah spekulasi liar yang tidak berasaskan realiti,” menurut laporan pasukan berkenaan.

Pasukannya turut menyatakan bahawa Bieber masih berada di landasan yang betul dan tidak akan terjejas oleh gosip liar.

Sebagai rekod, pada Januari 2023, Bieber telah menjual hak katalog muziknya kepada Hipgnosis Songs Capital dengan nilai lebih AS$200 juta (RM882 juta), satu jumlah yang menjadi antara yang tertinggi pernah dibayar oleh syarikat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Walaupun laporan tersebut cuba menggambarkan beliau sebagai 'terlalu berbelanja', Bieber masih mempunyai nilai kekayaan bersih dianggarkan sekitar AS$300 juta (RM1.32 bilion).

Berita ini turut timbul di tengah-tengah spekulasi mengenai kesihatan dan rumah tangganya dengan isteri, Hailey Bieber, yang juga sering menjadi perhatian peminat di media sosial. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!