Amy Search jaga kesihatan demi magis di Axiata Arena

Walaupun usia sudah mencecah 66 tahun, semangat rock Datuk Amy Search terus membara apabila beliau sedang giat membuat persiapan menjelang konsert solo bersejarahnya pada 26 April depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert yang diberi judul Amy Search Magic Konsert Solo Pertama itu bakal berlangsung kurang dua minggu dari sekarang sekali gus menandakan pencapaian istimewa dalam karier lebih empat dekad penyanyi yang sinonim dengan lagu-lagu rock malar segar ini.
Acara itu bukan sekadar sebuah persembahan biasa—ia adalah simbol ketekunan dan cinta Amy terhadap dunia seni yang telah menjadi nadi kehidupannya lebih empat dekad.
Menurut Amy, beliau amat bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan dan tenaga untuk terus berdiri di atas pentas, demi membalas sokongan para peminat yang setia bersamanya sejak era kegemilangan Search hingga ke hari ini.
“Setiap kali dapat menjayakan konsert saya dapat rasai satu kepuasan. Sebagai penghibur, saya sentiasa mahu berada di atas pentas dan menghiburkan peminat.
“Bagi saya, semakin kerap membuat persembahan, semakin banyak ilmu dan pengajaran baharu yang dapat saya pelajari,” katanya.
Namun dalam menggalas tanggungjawab besar itu, Amy mengakui beliau kini lebih menitikberatkan aspek kesihatan dan stamina, agar mampu memberi persembahan yang bertenaga sepanjang dua jam setengah konsert berlangsung.
“Sudah tentu di usia sekarang ini saya perlu pastikan diri kekal sihat dan bertenaga. Penyanyi ini umpama pemain bola kerana perlu kekalkan stamina supaya dapat berikan persembahan yang mantap.
“Untuk saya mengadakan persembahan selama dua jam setengah itu adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat berinteraksi dengan peminat selain berpeluang menyanyi bersama. Ia juga membawa satu kenangan terindah,” ujar legenda rock itu lagi.
Konsert ini akan menyaksikan antara 20 hingga 25 lagu dipersembahkan, termasuk lagu-lagu kegemaran peminat yang sudah menjadi siulan sepanjang zaman.
Lebih menarik, konsert ini turut mendapat sentuhan pengarah konsert berpengalaman, Jennifer Thompson, yang terkenal dengan sentuhan artistik dan pengurusan produksi berkelas tinggi.
“Sudah tentu lagu kegemaran kalian tak perlu saya nak cakap, saya akan nyanyikan. Saya janji akan berikan persembahan yang terbaik.
“Cuma saya nak anda hadir, dan kita akan sambut Aidilfitri bersama dalam suasana yang penuh bermakna,” katanya.
Bagi mencipta aura istimewa malam itu, tema Rock It Like Amy diperkenalkan, mendorong para penonton untuk hadir dengan gaya fesyen yang menghidupkan semangat rock n’ roll.
Tiket konsert masih boleh didapati di platform www.wowtix.com.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!