Pelaburan suku pertama Johor RM27.4 bilion, petunjuk positif JS-SEZ

PELABURAN suku pertama Johor yang mencecah RM27.4 bilion menjadi petunjuk positif permulaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia membabitkan pelaburan dalam pelbagai sektor antaranya farmaseutikal, Teknologi Maklumat, Kecerdasan Buatan (AI), pembuatan dan semikonduktor.
"Ini merupakan pencapaian membanggakan negeri ini berbanding pelaburan bernilai RM20 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama yang dicapai Johor, tahun lalu.
"Alhamdulillah, Pemangku Sultan Johor (Tunku Mahkota Ismail) bertitah semalam tentang nilai pelaburan di Johor cecah RM27.4 bilion, ini satu angka membanggakan buat negeri Johor.
"Ia hanya permulaan, JS-SEZ pun baru bermula, ia mendapat satu respons yang positif.
"Satu peningkatan yang besar dalam keadaan ekonomi negara dan global yang tidak menentu, tetapi Johor masih lagi ke hadapan. Kita dapat hasilkan perkara ini kerana kita bekerja sebagai satu pasukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Townhall Strategik Sempena Tahun Melawat Johor 2026 yang berlangsung di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar dan Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim.
Tambah Onn Hafiz, satu forum ekonomi bersama Singapura bakal berlangsung di daerah ini pada Isnin.
Menurutnya, ia sekaligus berpotensi melonjakkan nilai pelaburan di negeri ini.
"Pada hari isnin ini kita akan adakan satu forum dgn pelbagai sektor ekonomi dan juga pelabur berpotensi. Saya difahamkan hampir 800 syarikat telah menunjukkan minat bersama program tersebut.
"Seperti yang saya sebut dengan kuasa tuhan, melihat dengan pelaburan di Johor akan terus meningkat dalam masa terdekat," katanya.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail bertitah Pelaburan Johor pada suku pertama tahun ini mencecah RM27.4 bilion dan didorong dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini termasuk JS-SEZ.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!