'Ahmad Faizal lebih selamat bersama PH'

Gambar dari kiri: Ahmad Faizal, Khairol Najib
Gambar dari kiri: Ahmad Faizal, Khairol Najib
A
A
A

IPOH - Pemuda Amanah Perak melihat kedudukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak lebih selamat jika kekal bersama-sama rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) di Perak.

Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, walaupun belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan UMNO dan Pas di Perak, sudah ada suara-suara yang mahukan jawatan Menteri Besar Perak diberikan kepada UMNO memandangkan mereka mempunyai lebih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, situasi tersebut dilihat tidak akan memberikan manfaat kepada Bersatu yang memerlukan pengaruh untuk mengukuhkan kedudukan.

"Dalam hal ini, Bersatu sudah semestinya perlu mengalah atas kedudukannya sebagai parti yang kecil dan mempunyai wakil paling sedikit dalam DUN Perak. Bersatu bukan sahaja perlu bersaing bersama UMNO tetapi juga Pas yang mempunyai nafsu politik tidak kurang hebatnya dengan UMNO.

"Berbeza sekiranya Faizal bersama PH di mana beliau mendapat kedudukan yang tidak terancam langsung malah boleh mengekalkan seluruh lantikan politik dan anak-anak buahnya daripada Bersatu di peringkat bawah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Khairol Najib berkata, jika masalah dalam parti menjadi punca beliau berpaling tadah, sehingga kini beliau masih mempunyai sahabat yang setia mempertahankan beliau dari awal pelantikannya terutama dalam kalangan pemimpin Amanah iaitu Datuk Asmuni Awi merangkap Pengerusi Amanah Perak dan Naib Pengerusi Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Katanya, bukan itu sahaja beberapa pemimpin DAP seperti, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Howard Lee Chuan How; Bendahari DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong dan Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan juga antara yang sentiasa melihat Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar yang boleh dibawa berbincang.

"Dalam hal ini, Ahmad Faizal tidak mempunyai sebab untuk mengambil keputusan berbeza dengan sahabat karibnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Beliau boleh sahaja menjadikan kebijaksanaan Mukhriz sebagai panduan dengan mengekalkan untuk bekerjasama dalam PH, meneruskan mandat rakyat.

"Maka sebab itu, saya dengan sepenuh hati yang ikhlas menyampaikan pendapat saya kepada beliau, kembalilah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz, bekerjasama bersama PH. Sekali gus meredakan semula kekalutan yang berlaku di negeri ini dan meneruskan agenda yang dibina bersama PH untuk kita laksanakan janji-janji kita kepada rakyat," katanya.

Ahmad Faizal sehingga kini masih kekal sebagai sebagai Menteri Besar Perak dan exco-exco kerajaan negeri juga terus menjalankan tugas seperti biasa memandangkan tiada sebarang kenyataan rasmi dibuat berkenaan kedudukan kerajaan Perak selepas perubahan yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Semalam, tinjauan Sinar Harian di Bangunan Perak Darul Ridzuan mendapati, hampir kesemua exco kekal menjalankan tugas seperti biasa, namun terdapat exco-exco yang sudah mengemas barang-barang di pejabat mereka.

Sebelum ini, Asmuni ketika ditemui media menjelaskan kesemua ADUN Amanah kekal memberikan sokongan kepada Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

ARTIKEL BERKAITAN 6 ADUN Amanah sokong Ahmad Faizal