DBKL padam contengan vandalisme di kawasan tumpuan

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan operasi pembersihan contengan vandalisme di kawasan tumpuan awam di sekitar ibu negara.
Operasi ini melibatkan pemadaman contengan pada cermin dinding laluan pejalan kaki dan tiang LRT di sekitar Jalan Tun Perak berhampiran Bangunan Bank CIMB serta Jalan Sultan Ismail bersebelahan Menara Genting.
Menurut kenyataan DBKL, tindakan ini diambil sebagai langkah membanteras perbuatan vandalisme yang mencemarkan pemandangan dan menjejaskan imej bandar raya serta mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab.

"Mari kita semua bertindak lebih proaktif, mendidik diri dan masyarakat tentang menghargai harta awam," menurut pihak berkuasa tempatan itu dalam satu hantaran di laman Facebook.
DBKL turut menyeru orang ramai untuk bersama-sama berganding bahu dalam menjaga kebersihan dan keindahan Kuala Lumpur demi mewujudkan persekitaran yang selamat, selesa dan membanggakan.
"Tanggungjawab memelihara kebersihan dan keindahan bandar raya adalah tanggungjawab kita bersama! Bersama kita boleh mencipta persekitaran yang lebih baik," ujar kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

