Warga emas lemas dihanyut ombak ketika tarik pukat di Pantai Sepat

KUANTAN - Seorang lelaki warga emas lemas dihanyutkan ombak ketika turun menarik pukat bersama isteri di Pantai Sepat di sini pada Rabu.
Mayat Nasir Nurdin, 66, ditemui orang awam yang sedang mencari kepah kira-kira jam 6.30 petang di kawasan hujung tanjung tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa berasal dari Indonesia dan pemastautin tetap di negara ini sejak 40 tahun lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa bersama isterinya berusia 68 tahun datang ke pantai itu kira-kira jam 6 petang.
"Sebelum kejadian, wanita itu bersama mangsa telah turun ke dalam air untuk menarik pukat.
"Apabila sampai di tengah mangsa dipercayai telah lemas dihanyutkan ombak," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, isterinya naik ke darat untuk meminta bantuan.
"Orang awam yang berada di lokasi kejadian segera meminta bantuan dengan menghubungi talian kecemasan 999.
"Mangsa ditemui kira-kira setengah jam kemudian namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi tersebut," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau perlakuan jenayah.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

