Peserta kempen tolak Muhyiddin wajar dikenakan tindakan

Najmil Faiz Mohamed Aris
Najmil Faiz Mohamed Aris
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Peserta kempen menolak pelantikan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar dikenakan tindakan undang-undang.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, tindakan itu jelas melanggar keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Rata-rata pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan juga penyokong tegar mereka tidak mempedulikan amaran pihak polis yang melarang individu atau pihak yang berhasrat menganjurkan perhimpunan haram bagi membantah pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Dalam masa yang sama, kempen membantah pelantikan Perdana Menteri semakin giat dijalankan di media sosial menggunakan hashtag #NotMyGovernment dan #NotMyPM yang banyak memuat naik komen berbaur hasutan dan memecah-belahkan masyarakat.

"Golongan ini dilihat tidak menghormati keputusan Seri Paduka yang berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa siri perhimpunan haram telah diadakan sejak dua hari lalu yang disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bersih serta turut melibatkan beberapa tokoh dan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

"Tindakan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang ini merupakan budaya PH yang tidak dapat dipisahkan sejak dari dulu lagi.

"Apa yang menyedihkan mereka dilihat turut memanipulasi golongan mahasiswa dan belia untuk terlibat sama dalam perhimpunan haram itu,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, pihak berkuasa diminta untuk memantau perkembangan itu termasuk menerusi laman media sosial.

"Tindakan undang-undang wajar dikenakan terhadap mana-mana individu yang menyertai perhimpunan haram ini, memuat naik komen berunsur hasutan dan tidak menghormati keputusan Agong," katanya.