Perak catat lonjakan kutipan hasil

Sultan Nazrin berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Kelima Belas di sini pada Selasa.
Sultan Nazrin berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Kelima Belas di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Usaha meningkatkan kutipan hasil akan terus diterokai kerajaan Perak di samping perbelanjaan dikawal secara berhemah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kerajaan negeri terus mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan apabila berjaya merekodkan lebihan pendapatan bagi tiga tahun berturut-turut dengan kutipan hasil tahun 2024 mencecah RM1.33 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM118.5 juta berbanding tahun sebelumnya.

Baginda bertitah, prestasi itu membolehkan Akaun Hasil Disatukan negeri ditutup dengan lebihan berjumlah RM45.62 juta setakat 31 Disember 2024.

"Beberapa inisiatif dilaksanakan bertujuan menerokai potensi baharu hasil negeri antaranya, pemantapan pengurusan serta penguatkuasaan pengurusan sumber air di bawah Enakmen Sumber Air Perak 2023 dan mengenakan Caj Perkhidmatan Tempatan di bawah Enakmen Hotel 2023.

"Royalti industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dijangka akan memberikan sumbangan hasil baharu yang signifikan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Titah baginda, premium tambahan juga bakal diperoleh melalui projek-projek pembangunan dan pemajuan tanah perindustrian dan perumahan berimpak tinggi.

Baginda turut menekankan pelaksanaan Hala Tuju Ekonomi Biru yang memberi tumpuan kepada pembangunan sektor marin secara mampan menerusi sains, teknologi dan inovasi.

SULTAN NAZRIN
SULTAN NAZRIN

Sultan Nazrin bertitah, pelbagai inisiatif mempercepat kelulusan projek berimpak tinggi telah meningkatkan keyakinan pelabur, Perak berjaya menarik pelaburan berjumlah RM8.74 bilion tahun lalu, meningkat 2.7 peratus berbanding 2023.

Pelaburan itu diunjurkan mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan baharu.

Dari segi pasaran buruh, kadar pengangguran menurun kepada 3.1 peratus pada suku ketiga 2024, manakala jumlah penduduk bekerja meningkat kepada lebih 1.11 juta orang.

Dalam aspek pembangunan bandar pintar, Perak sedang melaksanakan Blueprint Bandar Pintar 2040 melibatkan dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Manjung dan Majlis Daerah Kampar berjaya meraih status Smart City Early Adopters, manakala Majlis Bandaraya Ipoh akan menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa Cities Series Windows: Smart Green ASEAN Cities 2025.

Sementara itu, titah baginda, hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan turut membuahkan hasil apabila Perak menerima peruntukan RM1.84 bilion di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 yang melibatkan 504 projek pembangunan

Pendidikan, perumahan, basmi kemiskinan jadi fokus utama

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pelbagai inisiatif telah digerakkan kerajaan baginda bagi memperkasa pendidikan, membasmi kemiskinan dan menjamin sekuriti makanan di negeri ini.

Baginda bertitah, sebanyak 17 program pendidikan telah dilaksanakan bagi memastikan akses yang adil kepada pendidikan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.

Selain itu, baginda menitahkan, Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) pula giat menjalankan sembilan program peningkatan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja kompetitif dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Bantuan insentif siswa turut diberikan kepada pelajar Perak dari keluarga berpendapatan bawah RM7,500.

“Pada tahun 2024, seramai 6,324 pelajar telah menerima manfaat ini,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa usaha menoktahkan kemiskinan menjadi agenda utama kerajaan negeri.

Baginda bertitah, pelbagai program seperti bantuan peralatan perniagaan, latihan kemahiran, pembinaan dan baik pulih rumah telah dijalankan, termasuk Program Pusat Sehenti Sejahtera Sosial yang menghimpunkan lebih 30 agensi bantuan di satu lokasi.

“Justeru, permasalahan kelompok sasar dapat diselesaikan secara in-situ. Melalui kesungguhan usaha dan komitmen pelbagai pihak, dalam tahun 2024, kerajaan beta berjaya menoktahi kemiskinan tegar kepada hampir 9,000 ketua isi rumah,” titah baginda.

Dalam aspek perumahan, baginda menekankan keperluan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.

Baginda juga menitahkan, Dasar Perumahan Negeri mewajibkan 40 peratus rumah mampu milik dalam setiap projek melebihi 20 ekar.

“Skim Pinjaman Perumahan Kos Rendah Bumiputera yang menawarkan pembiayaan pembelian rumah kos rendah kepada pembeli bumiputera yang berkelayakan diperkenalkan mulai tahun 2025.

“Kerajaan beta akan bertindak tegas dan sama sekali tidak berkompromi dengan perbuatan pemaju, menjual rumah yang dirizabkan sebagai kuota bumiputera sebelum terlebih dahulu mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri,” titah baginda.

Info Prestasi Kewangan Negeri:

-Kutipan hasil 2024: RM1.33 bilion (lebih RM118.5 juta berbanding 2023).

-Tiga tahun berturut-turut catat lebihan (surplus); 2024: RM45.62 juta.

Sumber Hasil Baharu:

-Enakmen Sumber Air Perak 2023 & Enakmen Hotel 2023 (Caj Perkhidmatan Tempatan).

-Royalti perlombongan NR-REE dijangka beri sumbangan besar.

-Nilai tambah hasil: Milik tanah TNB, projek pembangunan tanah industri & perumahan.

Inisiatif Ekonomi:

-Hala Tuju Ekonomi Biru untuk pembangunan sektor marin secara mampan.

-Fokus kepada sains, teknologi, inovasi & pemuliharaan marin.

Pelaburan & Pasaran Buruh:

-Pelaburan 2024: RM8.74 bilion (naik 2.7% dari 2023); lebih 4,000 pekerjaan bakal diwujudkan.

-Pengangguran turun ke 3.1% (suku ketiga 2024).

-Penduduk bekerja: 1.11 juta (2024), naik dari 1.09 juta (2023).

Kesejahteraan Rakyat:

- Program: Padanan kerja, bantuan perniagaan, latihan kemahiran, baik pulih rumah.

-Program Pusat Sehenti Sejahtera Sosial melibatkan lebih 30 agensi.

- 8,986 ketua isi rumah bebas daripada kategori miskin tegar bagi tahun 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!