Empat remaja terjatuh ketika daki Bukit Bendera

KEMAMAN - Empat remaja cedera selepas terjatuh dari kawasan berbukit
semasa mendaki Bukit Bendera di Pantai Teluk Mak Nik pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang remaja perempuan mengalami kecederaan di bahagian pinggang manakala tiga lagi cedera ringan di bahagian muka, pipi dan dagu.
Difahamkan, kesemua remaja perempuan berusia 18 tahun itu pertama kali melakukan aktiviti mendaki di kawasan tersebut sebelum dikatakan tersesat dari laluan asal dan menuju ke arah pantai.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman, Juniadi Mohd berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 1.25 tengah hari.
"Mangsa dikatakan tiba di lokasi itu jam 10 pagi dan mula mendaki di Bukit Bendera sebelum tersesat dan terjatuh kira-kira jam 12 tengah hari.
"Kita percaya salah seorang daripada mangsa dipercayai tergelincir sebelum masing-masing berpaut menyebabkan kesemua mereka terjatuh serentak.
"Selepas terjatuh, mangsa yang cedera di pinggang sempat berjalan kira-kira 300 meter sebelum tidak lagi mampu bergerak akibat kesakitan," katanya di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum membawanya keluar menggunakan pengusung ke kawasan selamat.
"Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Kemaman. Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 2.35 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
