Agrobank salur RM2.5 juta biasiswa bantu anak petani, nelayan

KUALA LUMPUR – Seramai 38 penuntut institusi pengajian tinggi awam daripada golongan B40 telah menerima Biasiswa Agrobank Madani sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2020.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sebanyak RM2.5 juta telah dibelanjakan setakat ini untuk menampung perbelanjaan penuntut yang terpilih di bawah program biasiswa berkenaan.
Menurut beliau, pada tahun ini sahaja, seramai 10 penuntut baharu menerima biasiswa bernilai kira-kira RM416,500.
“Kesemua mereka terdiri daripada pelajar daripada keluarga B40 termasuk anak-anak petani, penternak dan nelayan.
“Biasiswa ini bertujuan membantu golongan sasar melanjutkan pengajian di peringkat universiti tanpa sebarang halangan dari segi kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agrobank dan Majlis Penyampaian Anugerah Program Biasiswa Agrobank, di sini pada Selasa.

Majlis itu dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau memberitahu, sumbangan biasiswa itu juga merupakan mandat Agrobank untuk meningkatkan kejayaan komuniti agro terutama dalam kalangan B40.
Mengulas lanjut, katanya, Agrobank bukan sahaja memberi peluang pendidikan, malah berpotensi menjadi pelaburan strategik jangka panjang kepada bank itu sendiri.
“Ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami kerana selepas graduasi, mereka berpeluang diserap masuk sebagai kakitangan Agrobank dan diselia di bawah program pembangunan bakat kami,” katanya.
Tengku Ahmad Badli Shah memberitahu, ramai dalam kalangan penerima biasiswa kini telah menyertai Agrobank sebagai kakitangan sepenuh masa dan mengikuti skim latihan pengurusan yang diperkenalkan pihak bank.
“Mereka menerima latihan menyeluruh dalam pelbagai bidang perbankan dan ditempatkan di cawangan-cawangan Agrobank di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar.
“Agrobank kini mempunyai lebih 150 cawangan di seluruh negara dan terus komited menyalurkan perkhidmatan kewangan kepada golongan sasar khususnya komuniti agro dan berpendapatan rendah,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

