Jurutera ceburi industri madu

Mohamad Aluis menunjukkan antara anugerah yang dimenanginya sepanjang mengusahakan madu kelulut di Taman Agro Niranur di Sematan, Kuching.
Mohamad Aluis menunjukkan antara anugerah yang dimenanginya sepanjang mengusahakan madu kelulut di Taman Agro Niranur di Sematan, Kuching.
A
A
A

KUCHING - Perjalanan untuk menjadi pengusaha madu kelulut bukanlah sesuatu yang mudah buat Mohamad Aluis Hamri, 37, sebaliknya ia memerlukan tekad yang tinggi, selain semangat dan minat untuk menghabiskan apa yang telah dimulakan.

Itulah yang perlu beliau lalui dan selepas bertungkus-lumus bersama keluarganya selama hampir enam tahun, beliau kini boleh berbangga kerana dapat menikmati hasil titik peluhnya menjalankan perusahaan unik itu.

“Saya akui perjalanannya agak getir, namun dengan sokongan keluarga dan semangat untuk menghabiskan apa yang telah saya mulakan, inilah hasilnya,” katanya kepada Bernama di Taman Agro Niranur di Sematan kira-kira 105 kilometer dari Kuching.

Menggalas tanggungjawab sebagai pengurus taman agro yang dimulakannya bersama keluarganya sejak 2014, Mohamad Aluis menganggap penglibatannya dalam industri madu kelulut itu sebagai satu kebetulan kerana latar belakang beliau adalah seorang jurutera.

“Saya mempunyai sebuah syarikat pembinaan. Inspirasi untuk menceburi industri madu kelulut ini timbul selepas saya memerhatikan serangga unik ini, cara hidupnya yang sentiasa aktif dan struktur koloninya yang teratur,” katanya.

Madu kelulut yang dihasilkan Taman Agro Niranur di Sematan, Kuching.
Madu kelulut yang dihasilkan Taman Agro Niranur di Sematan, Kuching.

Akhir tahun 2014, Mohamad Aluis mulai mengatur langkahnya dengan mendapatkan dua sarang pertama kelulut yang diperolehnya daripada hutan paya bakau yang terdapat di Sematan.

Niatnya untuk memajukan industri madu kelulut disokong ibu bapanya yang membenarkan beliau menggunakan sebidang tanah milik keluarganya di daerah paling selatan di Sarawak untuk memulakan sebuah taman agro.

Artikel Berkaitan:

“Menjelang 2015, sebanyak 40 sarang kelulut telah dapat saya tempatkan di taman ini sebelum saya tambah menjadi 160 sarang kelulut pada tahun berikutnya dan sebanyak 180 sarang kelulut pada tahun 2017.

“Sekarang saya mempunyai sebanyak 220 sarang kelulut,” katanya.

Dengan penambahan sarang, usaha itu membolehkan Mohd Aluis meningkatkan hasil pengeluaran madu kelulut daripada sekitar 50 kilogram (kg) sebulan pada mulanya menjadi kira-kira 100kg ketika ini.

“Alhamdulillah, pendapatan yang pada mula-mulanya sekitar RM8,000 sebulan dapat ditingkatkan sehingga RM12,000 sekarang,” katanya.

Pengunjung menyedut madu menggunakan penyedut plastik untuk merasakan keenakan madu kelulut asli di Taman Agro Niranur, Sematan, Kuching.
Pengunjung menyedut madu menggunakan penyedut plastik untuk merasakan keenakan madu kelulut asli di Taman Agro Niranur, Sematan, Kuching.

Sementara itu, Mohamad Aluis berkata, penternakan kelulut memerlukan pemerhatian kerana sebagai serangga bersaiz kecil dan tidak menyengat, ia sering menjadi sasaran serangga pemangsa yang lebih besar seperti tebuan dan lebah.

Ketika ditanya cara yang digunakan bagi menangani serangga pemangsa itu, beliau menunjuk ke arah sebatang raket badminton yang tergantung di satu sudut pondok rehat taman berkenaan.

“Itu (raket badminton) adalah salah satu ‘senjata’ yang saya gunakan untuk menangani tebuan dan lebah yang menceroboh sarang kelulut.

“Selain itu, saya juga mempelajari satu petua untuk meletakkan sedikit belacan berdekatan sarang kelulut kerana ia dikatakan dapat menghalau lebah atau tebuan,” katanya.

Sejak dibuka kepada orang ramai pada tahun 2015, Taman Agro Niranur menerima kira-kira 40,000 orang pengunjung setiap tahun.

Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, Mohamad Aluis menjangkakan lebih ramai lagi pengunjung khususnya dalam kalangan peminat madu kelulut akan datang ke taman berkenaan. - Bernama