Anwar hargai pengiktirafan Trump terhadap usaha damai Malaysia

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap usaha Malaysia membantu Thailand dan Kemboja meredakan ketegangan serta mencari jalan ke arah keamanan.
Perdana Menteri berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Facebook pada Rabu berhubung penyertaannya dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat.
"Komitmen kedua-dua negara untuk meneruskan dialog amat penting bagi menjamin keamanan yang berkekalan di sempadan dan kestabilan rantau kita,” katanya menerusi hantaran itu.
Terdahulu, Trump mengiktiraf peranan Anwar dalam membantu memeterai perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand tahun lepas, selain menegaskan semula komitmen Washington untuk memastikan perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.
Berucap pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Manila malam semalam, Trump berkata, usaha bersama-sama beliau dan Anwar berjaya mencapai gencatan senjata dan membolehkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal kembali ke kediaman masing-masing.
Anwar berkata, pertemuan itu turut membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama ASEAN dengan Amerika Syarikat dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, termasuk perdagangan, pelaburan dan teknologi.
"Hubungan ini harus terus diperkasakan dengan tumpuan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan beliau menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr selaku Pengerusi ASEAN sebelum berlepas ke Shenzhen, China.
Beliau berkata, majlis itu diadakan sebagai penutup kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Marcos dan kerajaan Filipina atas kepengerusian kali ini yang disifatkannya membanggakan seluruh warga ASEAN. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
