Wanita kesal gambar suami jadi bahan kempen

TAPAH – Seorang wanita meluahkan rasa kesal apabila gambar suaminya disalahgunakan sebagai bahan kempen oleh sebuah parti politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tanpa sebarang kebenaran.
Gambar yang kini tular di media sosial itu memaparkan calon parti berkenaan bergambar bersama seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai pemangku Pusat Daerah Mengundi (PDM) Temoh Stesen dan individu aktif dalam Barisan Nasional (BN).
Wanita berusia 42 tahun itu ketika dihubungi pada Isnin berkata, penyebaran gambar berkenaan boleh mencetuskan pelbagai tafsiran negatif terhadap suaminya, terutamanya dalam kalangan masyarakat setempat.
“Gambar ini diterima semalam (Ahad). Suami saya sendiri tidak pasti bila gambar itu dirakam dan tiada sesiapa pun meminta izin untuk menggunakannya dalam poster kempen,” katanya.
Menurutnya, penggunaan gambar tersebut tanpa kebenaran amat mengecewakan, apatah lagi status suaminya sebagai penyokong tegar BN diketahui umum.
“Orang kenal siapa dia dalam parti. Jadi, penyebaran poster itu seolah-olah mencerminkan sokongan palsu kepada pihak lawan. Ini boleh menjejaskan reputasinya dan menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Difahamkan, poster berkenaan telah dipasang di simpang jalan berhampiran Sekolah Menengah Teknik Datuk Seri Mohd Zin (SMTD).
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat bagi menyatakan bantahan terhadap penyalahgunaan imej berkenaan.
Sementara itu, Jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Senior Asisten Komisioner Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
