'Trauma dengar bunyi mercun, bunga api'

SUBANG JAYA - Tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights, di sini, bukan sahaja mengakibatkan kerugian kepada penduduk yang berhampiran, malah segelintir mangsa mengalami trauma sehingga ada di antara mereka bercadang untuk berpindah.
Penduduk Taman Putra Harmoni, Chen Ka Kim berkata, rumah yang didiami sejak lapan tahun lalu terletak kira-kira 150 meter dari lokasi dikategorikan musnah sepenuhnya dalam kejadian itu.
Katanya, empat kenderaan miliknya juga musnah keseluruhan.
"Insiden itu menyebabkan anak perempuan saya alami trauma. Apabila dengar bunyi yang kuat seperti bunyi bunga api atau mercun, dia akan terkejut.
"Melihat keadaan anak menyebabkan saya terfikir kemungkinan akan berpindah ke rumah lain nanti. Namun, keputusan akan dibuat selepas rumah di sini (Putra Harmoni) sudah dibaiki, setakat ini kami menyewa di kediaman rakan," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Kata veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 63 tahun itu, ketika kejadian pada 1 April, beliau bersama isteri dan dua anak berusia 23 dan 25 tahun sedang berada di rumah.
Menurutnya, waktu itu kelihatan awan bertukar warna menjadi kuning menyelubungi kawasan sekitar.
"Ketika kejadian, saya sedang berada di dapur sebelum nampak api besar. Saya terus arahkan isteri dan anak-anak segera keluar dari rumah. Syukur kami selamat," ujarnya.
Tambahnya, diharap bantuan yang dijanjikan kerajaan dapat ditunaikan dalam masa terdekat.
"Pada masa sama, saya berterima kasih kepada pihak polis, bomba serta jabatan lain yang bertindak dengan pantas dalam kejadian ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA), Datuk Lee Kwang Lock berkata, terdapat dua ahli persatuan dalam kalangan veteran tentera terbabit dalam insiden letupan berkenaan.
"Selain Ka Kim, seorang lagi ahli kami iaitu Steven Liew, 67, yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut terjejas apabila 20 peratus rumahnya di Putra Harmoni rosak dalam kejadian itu.
"Justeru, kami beri sumbangan wang tunai daripada tabung persatuan ini kepada mereka yang boleh digunakan untuk membantu membeli barang keperluan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
