Belum ada perbincangan rasmi - DAP Sabah

KOTA KINABALU - DAP Sabah menegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN7).
Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pengumuman yang dibuat oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN17.
"Ingin saya tegaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara DAP Sabah dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama pilihan raya. Pertemuan secara tidak rasmi antara tokoh-tokoh politik adalah perkara biasa.
"Bagaimanapun, DAP Sabah melihat perkara ini selaras dengan semangat Madani yang dipraktikkan oleh kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, yang telah menjamin kestabilan politik sejak Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
DAP Sabah sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap sebarangB kerjasama politik dengan mana-mana parti politik, asalkan kepentingan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan.
"Kerjasama politik mesti berlandaskan dasar yang menyumbang kepada pembangunan Sabah dan bukan semata-mata demi menghadapi pilihan raya," katanya.
Sehubungan itu, Jin Zhe berkata, DAP Sabah bersedia untuk berbincang mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah sebelum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik.
"DAP Sabah kekal berpendirian bahawa kestabilan politik selepas PRN17 adalah amat penting bagi memastikan keyakinan pelabur dan kemajuan berterusan dalam membangunkan Sabah sebagai sebuah negeri yang makmur dan berjaya.
"Pendirian PH Sabah harus dibincang dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah dalam masa terdekat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
