UMNO Sabah-PH bergabung bukti hubungan erat

Kalsom
Kalsom
A
A
A

MELAKA - Tindakan UMNO Sabah bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) membuktikan hubungan kedua-dua parti semakin baik.

Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, hubungan yang erat itu sebenarnya berlaku di Melaka di mana dalam pentadbiran kerajaan negeri juga terdapat wakil rakyat BN dan juga PH.

Menurutnya, kombinasi yang dibawa Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membuktikan kedua-dua parti saling memerlukan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya, zaman sekarang tidak lagi relevan untuk satu parti berkuasa atau memerintah sahaja.

"Mungkin Melaka boleh jadi contoh, bersyukur adanya Ketua Menteri yang berpandangan jauh, jadi kita boleh bekerjasama baik dengan PH dan akrab sekali hingga sekarang.

"Saya kira tempat-tempat lain (negeri lain) pun harus mengikuti seperti ini kerana orang sedang memerhatikan negara kita dan perlunya kekalkan keharmonian ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, di Dewan JAPERUN Pengkalan Batu di sini, pada malam Ahad.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan bahawa parti itu akan bergabung dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan bagi menjawab persoalan banyak pihak berhubung dengan siapa UMNO Sabah akan bekerjasama dalam PRN kali ini.

Artikel Berkaitan:

Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti berkata, pihaknya akan terus-menerus turun ke akar umbi rakyat bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan termasuk baik pulih dan bina rumah baharu.

Ujarnya, ini termasuk persiapan bagi meneruskan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di dua DUN Iaitu DUN Lendu dan DUN Sungai Udang tidak lama lagi yang akan diadakan selama dua minggu.

"Dengan adanya medium itu kita akan cuba mendekati golongan wanita termasuk di dalam kem Sungai Udang untuk kita santuni permasalahan rakyat selain memastikan agenda pembangunan rakyat dapat disusun dengan lebih baik dan rancak," ujarnya lagi.

Majlis yang turut dihadiri Yang diPertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dihadiri lebih 5,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!