Badan Peguam kena bayar Muhammad Shafee RM340,000

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, memerintahkan Badan Peguam membayar ganti rugi sebanyak RM340,000 kepada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung dakwaan melanggar tanggungjawab statutori.
Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas mendapati badan berkenaan sebagai defendan telah menyalahi undang-undang dengan membenarkan dan menerbitkan usul mengutuk peguam berkenaan selaku plaintif, sebelum merujuk kepada Lembaga Tatatertib, pada 10 tahun lalu.
Mahkamah memberikan ganti rugi RM200,000 untuk kerosakan reputasi, RM100,000 (kehilangan peluang profesional), RM20,000 (tekanan mental dan kesihatan) serta RM20,000 (ganti rugi teruk).
"Setelah mempertimbangkan dengan meneliti keseluruhan keadaan dan penghujahan masing-masing, mahkamah ini menilai ganti rugi yang boleh dituntut oleh plaintif.
“Jumlah keseluruhan ialah RM340,000 merupakan pampasan yang adil, munasabah dan berkadar bagi pelanggaran yang dilakukan," kata Ahmad Shahrir sambil menambah mahkamah tidak mengarahkan kos kerana kes ini termasuk dalam kes berkepentingan awam.
Sementara itu, selepas prosiding, Muhammad Shafee berkata akan menyalurkan wang tersebut untuk kebajikan, sama ada kepada kanak-kanak atau peguam yang tidak berkemampuan.
“Anda pastinya terkejut kerana ada peguam yang sakit malah tidak mampu untuk membayar bil hospital,” katanya.
Pada Mac 2015 lalu, Muhammad Shafee menyaman Badan Peguam, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George (ketika itu, Thomas dan George merupakan peguam).
Beliau mendakwa Tommy telah menerbit dan mengemukakan usul pada 28 Februari 2015 untuk dibahaskan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) Badan Peguam ke-69 pada 14 Mac tahun sama dan usul itu telah disokong oleh George.
Usul itu berkaitan kelakuan Muhammad Shafee sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam rayuan kes liwat II, di Mahkamah Persekutuan yang mendakwa peguam itu telah melanggar peraturan profesion perundangan yang melarangnya mengiklankan diri.
Usul itu juga mendakwa Muhammad Shafee telah mengambil bahagian dalam jerayawara di seluruh negara dengan tujuan menghina seorang lelaki yang telah disabitkan kesalahan.
Pada 26 Mei 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman Muhammad Shafee dan peguam itu juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 11 Oktober 2018 yang menyebabkan beliau membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 20 Oktober 2021, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Muhammad Shafee dan memutuskan bahawa beliau berhak mendapat ganti rugi daripada Badan Peguam serta memerintahkan agar kes itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.
Artikel Berkaitan:
Mahkamah benar rayuan Shafee saman Majlis Peguam
Shafee dibenar rayu kes saman terhadap Majlis Peguam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

