Kelantan sumbang RM500,000 kepada Selangor, bantu mangsa di Putra Heights

Mohd Nassuruddin (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Ahmad Fadzli (dua dari kiri). Foto: FB Amirudin Shari.
Mohd Nassuruddin (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Ahmad Fadzli (dua dari kiri). Foto: FB Amirudin Shari.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Kelantan memberi sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Tabung Selangor Prihatin bagi membantu mangsa yang terkesan dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa sumbangan tersebut diserahkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin serta Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi dalam satu majlis ringkas di sini.

“Kerajaan Selangor amat berbesar hati menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan bersama Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Negeri Kelantan, Asri Daud serta delegasi di sini.

“Dalam pertemuan ini, Menteri Besar Kelantan telah menyampaikan sumbangan bantuan RM500,000 kepada Tabung Selangor Prihatin untuk mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.

“Saya mewakili Kerajaan Selangor merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Mohd Nassuruddin dan Kerajaan Kelantan atas sumbangan ini. Insya-ALLAH, bantuan ini amat bermakna buat kami di Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini dilaporkan, kebakaran saluran gas Petronas pada 1 April lalu mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Dalam kejadian pada jam 8.10 pagi itu, sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami, manakala 148 kediaman lagi terjejas dan mengalami kerosakan tetapi boleh diduduki selepas melalui proses pembaikan. Kejadian itu menyebabkan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

Susulan itu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menyalurkan pelbagai bantuan segera seperti bantuan sewa selama enam bulan, bayaran secara ‘one-off’ berjumlah antara RM2,500 hingga RM10,000 kepada mangsa terjejas, baucar, pinjaman kenderaan selama sebulan dan sebagainya.

Kini, insiden itu telah memasuki fasa pemulihan dengan lebih 4,000 sukarelawan digerakkan bagi membantu mangsa membersihkan kawasan terjejas di sekitar Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru menerusi Ops Mega Pembersihan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!