Trump sihat secara fizikal dan mental – Laporan doktor Rumah Putih

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disahkan mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang sangat baik selepas menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan pertamanya dalam penggal kedua pentadbirannya.
Menurut doktor Rumah Putih, Kapten Sean Barbabella, hasil pemeriksaan yang dijalankan di Hospital Tentera Walter Reed, Bethesda, mendapati Trump, 78, mempunyai fungsi jantung, paru-paru, neurologi dan fizikal am yang berfungsi dengan baik.
“Presiden Trump kekal dalam kesihatan yang cemerlang, dan layak sepenuhnya untuk melaksanakan tugas sebagai Panglima Tertinggi dan Ketua Negara,” katanya dalam memo perubatan yang dikeluarkan Rumah Putih, pada Ahad.
Pemeriksaan selama hampir lima jam itu turut melibatkan ujian darah, imbasan ultrasound, pemeriksaan jantung serta ujian neurologi merangkumi status mental, saraf, fungsi motor dan deria serta refleks. Hasilnya tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan atau kebimbangan.
Trump juga menjalani ujian penilaian kognitif Montreal (MoCA) dan mencatat skor penuh 30 daripada 30. Ujian tersebut lazim digunakan untuk mengenal pasti kemerosotan kognitif dan gejala awal demensia.
Bercakap kepada wartawan di atas pesawat Air Force One pada Sabtu Trump mengakui sudah menjawab soalan ujian dengan betul dan merasakan dirinya berada dalam keadaan baik, termasuk memiliki jantung dan jiwa yang sihat.
Beliau turut mengakui menerima sedikit nasihat daripada doktor mengenai perubahan gaya hidup, namun tidak memperincikan cadangan itu.
Dalam laporan sama, doktor turut menyatakan bekas Presiden itu mempunyai parut pada telinga kanan akibat tembakan dalam cubaan pembunuhan ketika kempen di Butler, Pennsylvania, Julai tahun lalu.
Trump kini seberat 224 paun (101kg) dengan ketinggian 6 kaki 2.5 inci, menunjukkan penurunan berat berbanding 243 paun pada Februari 2019. Berdasarkan Indeks Jisim Badan (BMI), beliau kini dikategorikan sebagai berat badan berlebihan, bukan obes.
Menurut Dr Barbabella, Trump memiliki pergerakan sendi dan otot yang penuh, dan gaya hidup aktif termasuk sering memenangi pertandingan golf banyak menyumbang kepada tahap kesihatan semasanya.
Ketika kempen pilihan raya, Trump kerap mempersoalkan tahap kesihatan fizikal dan mental lawannya, Presiden Joe Biden yang kini berusia 82 tahun, terutama selepas prestasi buruk dalam perdebatan tahun lalu. Biden pula dilaporkan enggan menjalani ujian kognitif semasa memegang jawatan. - BBC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

