[VIDEO] Penduduk bimbang lokasi pencawang elektrik dekat taman perumahan

A
A
A

JOHOR BAHRU – Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Baiduri, Ulu Tiram di sini melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan pencawang elektrik yang terletak di kaki cerun, berhampiran kawasan perumahan tersebut.

Pengerusi Badan Pengurusan Seri Baiduri, Mohd Kamarulzaman Azizan berkata, isu itu mula mendapat perhatian selepas beberapa penduduk memuat naik gambar dan video pencawang itu di media sosial.

Jimmy Puah (tiga dari kiri) meninjau lokasi pencawang elektrik berhampiran tapak pembinaan perumahan di Jalan Tiram pada Rabu.
Jimmy Puah (tiga dari kiri) meninjau lokasi pencawang elektrik berhampiran tapak pembinaan perumahan di Jalan Tiram pada Rabu.

“Bila gambar tular di Facebook, memang ramai yang mula bimbang. Tambahan pula berlaku tragedi di Putra Heights, jadi, penduduk risau perkara sama boleh berlaku di sini.

“Kedudukannya nampak sangat dekat dengan cerun. Ini melibatkan soal keselamatan, bukan benda main-main. Kami risau jika berlaku tanah runtuh atau cerun mendap, lebih-lebih lagi bila hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas lawatan oleh Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse ke lokasi pencawang berkenaan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarulzaman berkata, dia menghargai keprihatinan Jimmy Puah yang segera turun padang bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan pemaju bagi meninjau keadaan di kawasan berkenaan.

Mohd Kamarulzaman
Mohd Kamarulzaman

“Kami tak sangka tindakan diambil begitu cepat. Wakil YB (Yang Berhormat) hubungi kami dan terus atur lawatan. Bila tengok sendiri, kami sedikit lega kerana jaraknya 25 meter dari cerun.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, langkah susulan tetap perlu diambil bagi memastikan keselamatan jangka panjang. Pemaju sudah mula pasang pagar keselamatan dan akan mulakan kerja membina struktur penahan dalam masa terdekat.

"YB sendiri kata dalam dua minggu ni kerja akan jalan. Kami akan pantau dan harap semuanya berjalan lancar," ujarnya.

Jimmy Puah
Jimmy Puah

Sementara itu, Jimmy Puah berkata, penduduk di kawasan itu tidak perlu bimbang berkaitan kedudukan pencawang elektrik tersebut kerana jaraknya melebihi had minimum ditetapkan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Menurutnya, berdasarkan lawatan bersama pihak TNB, MBJB dan pemaju, pencawang tersebut terletak sejauh 25 meter dari cerun iaitu lima meter lebih jauh daripada had minimum 20 meter.

“Video yang tular itu diambil dari sudut yang membuatkan pencawang nampak terlalu hampir dengan tebing. Tapi sebenarnya, jaraknya lebih selamat daripada apa yang digambarkan.

"Jadi jangan bimbang, langkah keselamatan tetap diambil termasuk pemasangan pagar keselamatan dan pembinaan struktur penahan konkrit dalam masa terdekat.

“Kita tetap utamakan keselamatan. Pemaju telah diarahkan untuk mulakan kerja minggu ini juga dan dijangka siap dalam enam minggu," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!