[VIDEO] Tetap semangat hulur bantuan kepada mangsa bersih rumah
SUBANG JAYA - Cuaca panas terik tidak menghalang kerja-kerja kumpulan sukarelawan untuk menabur khidmat kepada mangsa insiden letupan paip gas membersihkan kawasan kediaman di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru, di sini pada Sabtu.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Satria Malaysia (Satria MIVEC), Isham Kassim berkata, pihaknya diberi tugas khas untuk menebang serta memotong pokok yang sudah mati dan membawa keluar sisa kebakaran.
Katanya, terdapat banyak sisa kebakaran yang perlu dibawa keluar termasuk tangki air yang telah mencair.
"Kawasan belakang perumahan mangsa masih terdapat banyak barang yang perlu dialih dan dikemaskan.
"Kami akan mengeluarkan sisa kebakaran ini daripada kawasan perumahan terlibat dan diletak di lorong dikhaskan bagi dikutip pihak pengurusan bencana.
"Meskipun berhadapan dengan cuaca panas terik pada hari ini, kami tetap bersemangat untuk membantu mangsa kebakaran di sini," katanya pada Sabtu.

Kerajaan negeri Selangor menggerakkan Program Ops Mega Pembersihan di lokasi terjejas insiden letupan paip gas di Putra Heights dan Kampung Kuala Sungai Baru, di sini selama dua hari bermula Sabtu.
Dalam program pembersihan dijalankan, terdapat beberapa sukarelawan menerima rawatan awal oleh pihak perubatan kerana dipercayai mengalami dehidrasi dan strok haba.
Mengulas lanjut, Isham berkata, Satria MIVEC bersama 40 orang petugas telah diberi peluang masuk ke dalam kawasan perumahan terjejas bagi menghulurkan bantuan dalam Program Ops Mega Pembersihan.
Menurutnya, pihaknya berasa bertuah kerana diberi peluang berkhidmat kepada masyarakat meskipun tahu risiko-risiko yang bakal dihadapi.
Ini kerana katanya, elemen panas di kawasan bencana masih terasa dan persekitaran juga sangat berdebu.
"Ia sebenarnya sangat berisiko kepada para sukarelawan, namun langkah-langkah keselamatan diri telah diambil dengan memakai pelitup muka serta memakai sarung tangan.
"Selain itu, kita juga cuba bekalkan sebanyak mungkin air minuman kepada sukarelawan supaya mereka sentiasa cergas dan tidak dihidratat semasa bertugas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
