UiTM Dungun terima peruntukan RM10 juta baik pulih kolej, prasarana kampus

Sinar Harian sebelum ini melaporkan terdapat penjaga meluahkan rasa kesal apabila melihat keadaan kolej kediaman UiTM Dungun yang didakwa sudah uzur dan kelihatan usang.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan terdapat penjaga meluahkan rasa kesal apabila melihat keadaan kolej kediaman UiTM Dungun yang didakwa sudah uzur dan kelihatan usang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu menerima peruntukan lebih RM10 juta daripada kerajaan bagi membaik pulih kolej kediaman termasuk kemudahan prasarana kampus.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, kerja-kerja penambahbaikan telah dimulakan sejak tahun lalu melibatkan kolej kediaman, bangunan kuliah dan kemudahan pelajar.

"Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan (MOF) atas keprihatinan ini.

"Dana yang disalurkan sangat penting bagi membaiki kemudahan yang telah lama digunakan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, selain itu, tambahan sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi membaik pulih peralatan dapur Hotel UiTM yang belum pernah diganti sejak ia ditubuhkan, dan menjadi pusat latihan industri kepada pelajar Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan.

Katanya, penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat mengikut blok bagi memastikan pelajar masih boleh mendiami kolej tanpa perlu berpindah keluar kampus sekali gus tidak mengganggu sesi pengajian.

"Tahun ini UiTM Cawangan Terengganu genap 50 tahun. Dengan semangat ulang tahun ini, kita tekad memastikan prasarana kampus kembali berada dalam keadaan terbaik," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut meluangkan masa meninjau kemudahan di Kampus UiTM Dungun pada Rabu.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut beramah mesra bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan menggalakkan mahasiswa agar sama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan, keselamatan dan kelestarian kampus.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan terdapat penjaga meluahkan rasa kesal di media sosial apabila melihat keadaan kolej kediaman UiTM Dungun yang didakwa sudah uzur dan kelihatan usang.

Ada yang turut mendakwa kemudahan disediakan di situ tidak selamat kerama terdapat kerosakan serta menyifatkan ia seperti 'rumah tinggal'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!