Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir BAC 2025

Wooi Yik (kiri) dan Aaron akan menentang pasangan tuan rumah dalam aksi separuh akhir BAC di China pada Sabtu. Foto BAC 2025
Wooi Yik (kiri) dan Aaron akan menentang pasangan tuan rumah dalam aksi separuh akhir BAC di China pada Sabtu. Foto BAC 2025
A
A
A

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan langkah kanan apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di China sebentar tadi.

Juara dunia 2022 itu menyingkirkan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto secara straight set dalam aksi bertenaga di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.

Menerusi strategi permainan pantas, Aaron-Wooi Yik mengungguli set pertama 21-16.

Momentum positif kemudian diteruskan apabila pasangan negara memerangkap gandingan Indonesia itu menerusi permainan di jaring.

Kesilapan pilihan ketiga kejohanan itu membuka ruang buat Aaron-Wooi Yik mengutip mata demi mata sebelum mengesahkan kemenangan 21-11 dalam masa 30 minit.

Keputusan itu menyaksikan rekod pertemuan mereka adalah seimbang dengan masing-masing meraih empat kemenangan daripada lapan pertemuan.

Menanti Aaron-Wooi Yik dalam saingan separuh akhir pada Sabtu ialah beregu nombor tiga dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Pasangan dari China itu mara selepas menewaskan pasangan Indonesia, Shohibul Fikri-Daniel Marthin dalam satu lagi aksi suku akhir.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!