Empat kambing mati diserang harimau kumbang

NILAI - Seorang penternak berputih mata apabila empat kambingnya yang tiga daripadanya bunting mati dipercayai dibaham harimau kumbang di Kampung Jelatok, Mendom, Lenggeng di sini malam Khamis.
Kejadian itu disedari keluarganya kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat selepas terdengar bunyi bising di luar rumah.
Penternak terbabit, Abdul Rahman Abdullah 70, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu menerusi panggilan telefon oleh menantunya selepas terdengar bunyi bising seakan-akan harimau.

"Dia tak berani keluar waktu itu kerana dengar bunyi macam harimau dan hanya pada jam 7 pagi dia keluar untuk tengok apa berlaku.
"Apabila diperiksa di kawasan sekitar, dia nampak cebisan bangkai kambing dan berdasarkan kesan gigitan serta cakaran itu dia yakin ia disebabkan angkara harimau kumbang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, kejadian terbabit menyebabkan dia mengalami kerugian dianggarkan RM7,000.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, siasatan awal mendapati, ternakan pengadu dibaham haiwan terbabit berdasarkan penemuan kesan tapak kaki harimau di sekitar kawasan kandang kambing.
"Harimau itu disyaki memasuki kandang melalui kawasan ladang sawit berhampiran.
"Jadi, kita telah nasihatkan pengadu supaya menutup kandang sepenuhnya dan mengawasi ternakan mereka terutama waktu malam," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan memasang perangkap harimau di lokasi berkenaan dan penduduk juga dinasihatkan menghubungi Perhilitan sekiranya terserempak atau ternampak kelibat haiwan itu.
Ujarnya, mereka juga diminta tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

