Pemandu SUV maut tercampak nahas dua kenderaan

PASIR GUDANG – Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaannya dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 19, Jalan Johor Bahru hala Kota Tinggi, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 pagi ketika mangsa yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah Proton Waja.
“Kemalangan berlaku ketika pemandu Proton Waja, seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun, dalam perjalanan dari Jalan Taman Kota menuju ke Masjid Bandar Ulu Tiram.
"Secara tiba-tiba, keretanya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Proton X50 yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu Proton X50 tercampak keluar dari kenderaannya dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Mohd Sohaimi, pemandu Proton Waja pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan bagi kemalangan tersebut akan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta berhati-hati terutamanya ketika memandu pada waktu malam atau ketika waktu puncak.
"Sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

