Zakat MAINPP agih 8,740 tablet, perkukuh pembelajaran digital asnaf

Mohamad (kiri) menunjukkan tablet yang akan disampaikan kepada 263 buah sekolah di negeri ini.
Mohamad (kiri) menunjukkan tablet yang akan disampaikan kepada 263 buah sekolah di negeri ini.
A
A
A

GEORGE TOWN - Usaha memperkukuh pembelajaran digital di Pulau Pinang terus diperkasa apabila Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyerahkan sebanyak 8,740 unit peranti tablet kepada 263 buah sekolah rendah di seluruh negeri.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, penyerahan peranti itu dilaksanakan melalui Divisyen Projek Khas Zakat MAINPP dengan kos keseluruhan berjumlah RM6.511 juta khusus untuk murid-murid daripada keluarga B40 yang tergolong dalam kategori asnaf fakir, miskin dan fisabilillah.

Menurutnya, usaha yang dilakukan Zakat MAINPP ini dilihat membawa makna besar dalam menyokong aspirasi Penang2030 ke arah menjadi Negeri Pintar dan Hijau berteraskan Keluarga Inspirasi Negara menjelang tahun 2030.

Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Mohamad Zawawi.
Mohamad (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Mohamad Zawawi.

“Transformasi negeri bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur fizikal, tetapi turut merangkumi pembangunan minda dan sahsiah rakyat.

"Justeru, kefahaman terhadap teknologi serta keupayaan menyesuaikan diri dengannya amat penting, terutama dalam sektor pendidikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peranti Tablet Zakat MAINPP kepada Sekolah-Sekolah Negeri Pulau Pinang di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman; Ketua Pegawai Projek yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP; Mohamad Kairi Ghazalli dan Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang,Mohamad Zawawi Ahmad.

Sementara itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, inisiatif ini juga menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran digital, khususnya dalam kalangan pelajar Muslim agar tidak tercicir dalam arus transformasi pendidikan moden.

Beliau berkata, penajaan tablet ini mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2024 yang memutuskan bahawa penggunaan dana zakat daripada Kumpulan Wang Tawaqquf adalah harus untuk tujuan pendidikan seperti ini.

Artikel Berkaitan:

"Majlis ini menjadi bukti bahawa MAINPP bukan sahaja menyahut seruan kerajaan untuk memperkasa digitalisasi pendidikan, malah bersedia melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan teknologi baharu seperti Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), blockchain, augmented reality (AR), cloud computing, dan big data analytics di dalam ekosistem pendidikan Islam.

"Kerajaan Negeri melalui Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) terus komited membina ekosistem pendidikan Islam yang holistik, progresif dan inklusif.

"Tumpuan diberikan bukan sahaja kepada pembangunan modal insan dan kecemerlangan pendidikan, malah merangkumi aspek pembangunan teknologi, sosioekonomi serta pengukuhan peranan institusi keagamaan sebagai pusat rujukan dan transformasi masyarakat," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!