X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin terbaik kerana semangat kental, banyak pengalaman

Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan pas Jabatan Perdana Menteri miliknya pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Perdana Menteri kelapan di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Semangat juang yang kental dan pengalaman yang luas menjadi kelebihan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggalas serta melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ke-8.

Rata-rata penganalisis politik tanah air yang diminta mengulas pelantikan beliau positif, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini mampu mengukuhkan kembali kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara seperti yang diharapkan rakyat negara ini.

Bagi mereka, Muhyiddin, 72, adalah individu terbaik untuk menerajui kepimpinan negara berdasarkan kepada pengalaman luas beliau dalam bidang politik serta pentadbiran tanah air setelah menyandang pelbagai portfolio utama kerajaan yang melebihi empat dekad daripada usianya.

Menurut geostrategis, Azmi Hassan yang juga penganalisis politik, pengalaman luas Ahli Parlimen Pagoh (Johor) itu dilihat sebagai aset utama buat Muhyiddin mengemudi negara kerana berdepan dengan pelbagai cabaran yang sengit dan getir.

“Memang benar, tidak dapat disangkalkan lagi pengalaman beliau bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam menguruskan negara bermula daripada memegang jawatan Menteri Besar Johor sehinggalah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kemudiannya Menteri Dalam Negeri.

“Antara sepanjang jawatan itu, sudah banyak portfolio yang beliau sandang. Ini menunjukkan beliau mempunyai pengalaman sangat luas untuk menerajui kepimpinan negara,” katanya kepada Bernama, menerusi WhatsApp.

Kaya pengalaman

Beliau yang dilahirkan pada 15 Mei 1947 ialah Ahli Parlimen Pagoh selama lima penggal sejak 1978 memiliki pengalaman luas dalam bidang politik serta pentadbiran, malah Muhyiddin yang juga pengasas Bersatu bermula daripada 1970-an lagi.

Anak kepada ulama tersohor di Muar, Johor iaitu Allahyarham Muhammad Yassin Muhammad juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Johor. Kerusi DUN ini dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1970-an, beliau pertama kalinya dipilih menjadi wakil rakyat apabila memenangi kawasan Parlimen Pagoh pada PRU ke-5 (1978) atas tiket Barisan Nasional-UMNO.

Muhyiddin menandatangani surat cara pelantikan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -  Foto Bernama
Muhyiddin menandatangani surat cara pelantikan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Foto Bernama

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-7 (1986) apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang dan mengekalkan jawatan Menteri Besar apabila memenangi kerusi yang sama pada PRU ke-8 (1990). Kedua-duanya atas tiket Barisan Nasional-UMNO.

Ketika menyandang jawatan Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995, negeri Johor Darul Ta’zim boleh dikatakan mencatat perkembangan pesat dan muncul antara negeri termaju di Malaysia.

Perjalanan kerjaya Muhyiddin yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya (UM) antaranya dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri Malaysia pada 1981 dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada 1982.

Beliau juga pernah menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan (1995-1999), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (1999-2004), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2008), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2008-2009), Timbalan Perdana Menteri (2009-2015), Menteri Pendidikan (2009-2015), dan Menteri Dalam Negeri (Mei 2018-Febuari 2020) di bawah beberapa Perdana Menteri.

Menurut Azmi, pengalaman luas Muhyiddin menyandang pelbagai portfolio utama kerajaan serta jatuh bangunnya dalam karier politiknya pastinya dapat membantu beliau mengemudi negara di tengah-tengah kemelut politik semasa.

Beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2015 dan sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 2016 sebelum Ogos tahun sama mengasaskan Bersatu.

Keperibadian menarik

Pada pandangan Azmi, Muhyiddin bukan sahaja berkelayakan dari sudut pengalaman bahkan juga keperibadian sebagai seorang pemimpin yang berintegriti, tidak tamak pada jawatan adalah kekuatan Perdana Menteri ke-8 itu.

“Insiden Tan Sri dipecat jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Timbalan Presiden UMNO semasa pentadbiran Barisan Nasional berikutan pendirian tegasnya dan berani menentang arus demi kepentingan parti juga satu kriteria penting keperibadian beliau.

“Ketegasan beliau itu sudah menunjukkan keberanian, kejujuran beliau menyelesaikan masalah, mencungkil rahsia tanpa memikirkan akibatnya terhadap diri sendiri dan jawatan yang dipegangnya ketika itu" katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Perdana Menteri kelapan kepada Muhyiddin pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Perdana Menteri Kelapan di Istana Negara semalam.  - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Perdana Menteri kelapan kepada Muhyiddin pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Perdana Menteri Kelapan di Istana Negara semalam. - Foto Bernama

Menurutnya, itu adalah manifestasi paling mudah bahawa beliau tidak tamak memegang jawatan, tidak tamak menyelamatkan jawatan sebagai TPM dengan hanya berdiam.

"Saya melihat kriteria ini penting selain pengalaman yang membuatkan rakyat berasa beliau adalah seorang yang boleh dipercayai.

“Jadi, apabila diumumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik beliau sebagai Perdana Menteri kelapan, rakyat berasa lega.

"Saya dapat merasakan kelegaan tersebut kerana mereka percaya beliau adalah calon terbaik berdasarkan keperibadian tersebut,” katanya.

Selain itu, Azmi berkata menariknya juga ketokohan Muhyiddin adalah beliau bukanlah nama yang dicanangkan sebelum ini sebagai calon Perdana Menteri ketika pertarungan politik hebat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Walaupun nama beliau tidak pernah timbul sebagai calon Perdana Menteri tetapi akhirnya Tan Sri Muhyiddin yang terpilih bahawa beliau adalah calon terbaik berbekalkan pengalaman urus negara dan politik selama ini,” katanya.

Satu kelebihan

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pengalaman berkhidmat di dalam dua pakatan kerajaan yang berbeza iaitu BN dan Pakatan Harapan adalah satu kelebihan kepada Muhyiddin.

“(Kelebihan kepada) Tan Sri untuk mengadakan rekonsiliasi polisi tentang dasar kerajaan yang baik dalam kedua-dua era pentadbiran supaya ia dapat diteruskan atau diperkenalkan semula dalam teraju Perikatan Nasional di bawah pentadbiran beliau,” katanya.

Muhyiddin menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas di Perdana Putra hari ini.  - Foto Bernama
Muhyiddin menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas di Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

Bernama turut mendapatkan pandangan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong.

Bagi beliau, Muhyiddin layak dilantik sebagai Perdana Menteri kerana selain berpengalaman luas di peringkat kerajaan pusat selain pernah menjadi menteri besar (Johor) untuk satu tempoh agak lama.

Menurut beliau, pengalaman di kedua-dua peringkat kerajaan yakni pusat dan negeri, tidak dapat dinafikan akan membantu Muhyiddin dalam mentadbir negara dengan lebih baik khususnya dari sudut hubungan kerajaan pusat dan negeri.

“Sehubungan pelantikan ini, rakyat jelata inginkan pengakhiran muktamad kepada krisis kepimpinan sebelum ini. Dengan ini, tidak perlu ada usaha dan tindakan susulan di Parlimen untuk mencabar sokongan beliau.

“Ini kerana pelantikan beliau oleh Yang di-Pertuan Agong, sudah mengambil kira sokongan ini. Oleh itu, pengundian tidak percaya di Parlimen bukan sahaja satu tindakan yang mencabar keputusan baginda, bahkan ia juga adalah satu penderhakaan! ” kata beliau dalam jawapannya menerusi e-mail.

Pandangan beliau turut dikongsi Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed bahawa kumpulan yang tidak mendapat majoriti berdasarkan kepada pandangan Yang di-Pertuan Agong perlu menerima hakikat dan menghormati keputusan tersebut.

Ini kerana proses pelantikan yang dibuat adalah berlandaskan lunas undang-undang dan perlembagaan persekutuan.

Bagaimanapun, sekiranya mereka masih mahukan perubahan berdasarkan perkembangan semasa, beliau berkata kumpulan berkenaan perlulah melakukan apa jua tindakan berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bagi memastikan kestabilan politik dapat dicapai apabila semua pihak sentiasa menghormati peraturan dan undang-undang negara,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus